KUALA LUMPUR 21 Dis. - Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) telah dilantik sebagai jawatankuasa untuk menyelia pembangunan kadar rujukan alternatif (ARR) bagi Malaysia dan untuk mempertimbangkan kesinambungan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR).
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pembaharuan penanda aras kewangan sedang dijalankan pada peringkat antarabangsa bagi meningkatkan integriti penanda aras kadar faedah atau kadar rujukan global.
Katanya, ini sejajar dengan cadangan Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB).
"Bank menjangkakan ARR yang dikenal pasti akan bergerak selari dengan KLIBOR sedia ada, lantas memberikan waktu yang cukup bagi para peserta pasaran dan pihak berkepentingan untuk bersedia menggunakan ARR," katanya dalam kenyataan hari ini.
FMC terdiri daripada wakil BNM, Suruhanjaya Sekuriti (SC), institusi kewangan, penanggung insurans, pengurus dana dan perbendaharaan korporat.
Jawatankuasa ini akan menjadi forum utama bagi membincangkan perkembangan terkini pada peringkat antarabangsa mengenai penanda aras kewangan dan bertanggungjawab memberi cadangan tentang hala tuju strategik untuk kadar penanda aras kewangan di Malaysia.
Tugas utama jawatankuasa pertamanya adalah mendapatkan maklum balas orang ramai pada peringkat awal mengenai pengenalpastian ARR yang sesuai dan penambahbaikan rangka kerja KLIBOR jika rangka kerja itu dikekalkan.
FMC juga akan mempertimbangkan standard industri secara menyeluruh bagi memudahkan penerapan ARR untuk kontrak kewangan semasa yang menggunakan KLIBOR sebagai rujukan.
Kemas kini secara berkala tentang kemajuan yang dicapai oleh FMC termasuk penilaian dan saranannya akan diterbitkan untuk rujukan oleh semua peserta pasaran. - DagangNews.com