FMM kesal kerajaan ubah dasar pengambilan pekerja asing secara tergesa-gesa | DagangNews Skip to main content

FMM kesal kerajaan ubah dasar pengambilan pekerja asing secara tergesa-gesa

Bangunan FMM di Sri Damansara Kuala Lumpur Gambar: DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mac – Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) terkejut dengan perubahan mendadak terhadap dasar pekerja asing oleh kerajaan.

 

Ini berhubung keputusan tidak lagi membenarkan kemasukan pekerja asing bagi sektor formal dari kuota aktif, mulai 1 Jun. 


 
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, perubahan polisi yang mendadak itu menyebabkan banyak pengilang terkial-kial dalam memenuhi keperluan tenaga kerja mereka.

 

Kata beliau, ini terutamanya mereka yang telah merancang pengambilan pekerja secara berperingkat mengikut jadual pesanan kerja.

 

"Melaksanakan perubahan dasar yang mendadak, terutamanya apabila industri menjangkakan peningkatan dalam jualan, pengeluaran, pelaburan modal serta pengambilan pekerja akan menjejaskan pertumbuhan perniagaan dan ekonomi pada masa hadapan, katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Pada 1 Mac lalu, kerajaan mengumumkan tidak lagi membenarkan kemasukan pekerja asing bagi sektor formal dari kuota aktif, mulai 1 Jun.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, baki kuota penggajian pekerja asing yang masih aktif dan dibayar levi, tetapi belum diterbitkan visa dengan rujukan (visa with reference atau VDR) hujung bulan ini, akan dibatalkan dengan bayaran levi kuota dikembalikan kepada majikan.

 

“Tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal baharu dengan VDR adalah 31 Mei,” kat Saiffuddin pada sidang media.

 

Sementara itu, Thian Lai berkata, amat mengecewakan apabila rasional Kerajaan melaksanakan perubahan dasar itu adalah bagi memenuhi sasaran yang ditetapkan ke atas bilangan pekerja asing di negara ini iaitu tidak melebihi 2.4 juta orang menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Sedangkan katanya, pertimbangan kepada keperluan buruh sebenar perlu ditekankan mengikut industri pada mengikut situasi semasa.

 

"Dalam hal ini, kami merayu kepada Kerajaan untuk segera mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan untuk memahami situasi di lapangan dan untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar dengan melanjutkan tempoh masa enam bulan sehingga September 2024.

 

"Ini untuk membolehkan majikan memohon Visa Panggilan/VDR dan mengatur kemasukan pekerja, dengan itu memberi majikan yang mempunyai keperluan pekerja sebenar, masa yang mencukupi untuk menggerakkan pekerja baharu di bawah baki kuota aktif mereka," jelasnya.

 

Di samping itu, kata Thian Lai, kerajaan mesti mempertimbangkan keperluan tulen pekerja untuk memenuhi kewajipan pesanan dan mempertimbangkan permohonan kuota pekerja asing baharu berdasarkan keperluan.

 

"Memburukkan lagi keadaan, semua majikan berebut-rebut untuk menggunakan kuota mereka dalam tempoh sebulan dan ia akan membawa kepada peningkatan mendadak dalam pengambilan pekerja di negara sumber yang akan memanjangkan lagi proses," katanya.- DagangNews.com