FMM sokong pelaksanaan GST dengan kadar 4% berbanding 6% sebelum ini | DagangNews Skip to main content

FMM sokong pelaksanaan GST dengan kadar 4% berbanding 6% sebelum ini

KUALA LUMPUR 2 Jun - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mencadangkan agar kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diturunkan kepada paras lebih rendah sekiranya ia kembali dilaksanakan bagi mengurangkan beban rakyat.

 

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pihaknya menyokong pelaksanaan semula GST namun kadarnya perlu dikaji semula berbanding 6% sebelum ini.

 

Belia mencadangkan kadar baharu serendah 4%  bagi membantu meningkatkan asas hasil kerajaan, sekali gus membantu mengurangkan paras hutang dan mempercepat pergerakan konsolidasi fiskal.

 

"FMM berpandangan bahawa GST lebih telus dan lebih efektif berbanding Cukai Jualan dan Perkhdimatan (SST). 

 

"Berdasarkan kaji selidik kami mengenai pengenalan semula GST pada Mei 2020, sebanyak 499 syarikat yang memberikan maklum balas, menyokong GST untuk menggantikan SST.

 

"Ini kerana GST menawarkan struktur percukaian lebih adil dan ia menyingkirkan penjujukan dan pengkompaunan cukai yang biasa ditemui dalam rejim SST," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

fmm
Tan Sri Soh Thian Lai

 

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan kerajaan sistem GST dilaksanakan semula sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

 

Thian lai berkata, pelaksanaan GST akan memberikan kemudahan kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai langsung termasuk cukai pendapatan peribadi dan cukai korporat, sekali gus menjadikan Malaysia lebih menarik dari segi destinasi perniagaan.

 

Selain itu, pelaksanaan GST akan menjadikan harga eksport Malaysia lebih kompetitif di persada global kerana rejim percukaian sedemikian tidak dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan.

 

"Pengenalan semula GST tidak boleh dipertimbang secara berasingan, sebaliknya dianggap sebahagian daripada penilaian holistik dalam sistem percukaian Malaysia serta mengambil kira kedudukan fiskal negara.

 

"Ketika pengenalan asas meluas cukai kepenggunaan mungkin akan mengukuhkan posisi fiskal negara, pengenalan GST 2.0 mesti mudah diuruskan dan juga tidak meningkatkan kos menjalankan perniagaan," katanya. - DagangNews.com