Focus Point beri tumpuan kepada perkembangan perniagaan optik, makanan dan minuman - HLIB | DagangNews Skip to main content

Focus Point beri tumpuan kepada perkembangan perniagaan optik, makanan dan minuman - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Focus Point Holdings Berhad akan memberi fokus kepada perkembangan dua perniagaan terasnya iaitu optik dan segmen makanan dan minuman (F&B).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, dalam segmen optik, kumpulan itu akan terus meningkatkan pelanggan korporat dan ia dijangka menyumbang kepada aliran jualan yang berterusan untuk kumpulan itu.

 

Katanya, pengurusan kumpulan akan terus mengembangkan Optometrist Anggun pada masa hadapan (kini terdapat di tujuh cawangan).

 

Bagi segmen F&B, firma itu yakin dengan prospek pertumbuhan terutamanya datang daripada pelanggan baharu.

 

"Pelanggan F&B korporat baharu akan meningkatkan penggunaan dapur berpusat kepada 80% daripada paras semasa sebanyak 50%.

 

"Untuk Komugi, kumpulan itu sedang mengintai peluang untuk membuka dua ketiga cawangan baharu pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil kumpulan itu bagi 4QFY22 adalah sebanyak RM68.4 juta dan untung bersih teras sebanyak RM10.4 juta menjadikan keuntungan bagi FY22 sebanyak RM36.3 juta.

 

Peningkatan hasil bagi suku tahun itu disumbangkan daripada peningkatan produk berkaitan optik (+20%), pengurusan francais (+2%) walapun terdapat penurunan di dalam segmen F&B (-15%). 

 

Firma itu menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan sebanyak 5% bagi FY23 dan 3% bagi FY24.

 

Firma itu mengekalkans aranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.61 sesaham.

 

"Kami kekal yakin dengan model perniagaan kumpulan kerana menganggap kedua-dua segmen bersedia untuk meneruskan trajektori pertumbuhannya dengan ekuiti jenama dan populariti produk Komugi," katanya. - DagangNews.com