Fokus segmen baharu dorong Sime Darby jual ekuiti Jining Port | DagangNews Skip to main content

Fokus segmen baharu dorong Sime Darby jual ekuiti Jining Port

Sime Darby

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Keputusan Sime Darby Bhd. (Sime Darby) yang menjual keseluruhan 70% kepentingan dalam Pelabuhan Jining adalah satu strategi dan fokus baharu syarikat. 

 

CGS-CIMB Research berkata, penjualan tersebut adalah untuk membuat peruntukan semula sumber syarikat berkenaan kepada segmen yang mempunyai pertumbuhan lebih tinggi di China.

 

"Penjualan Pelaburan Jining menjadi sebahagian daripada strategi penjualan aset bukan teras kumpulan.

 

"Keputusan ini juga adalah untuk keluar secara beransur-ansur daripada perniagaan pelabuhan dan menetapkan memperuntukkan semula sumbernya ke segmen motor dan bahagian industri yang lebih besar di China.

 

"Selain itu, kumpulan ini memberitahu bahawa tekanan margin yang rendah disebabkan oleh persaingan sengit daripada pelaburan jiran serta peningkatan kos operasi adalah faktor kepada keputusan untuk keluar daripada sektor pelabuhan darat di China," jelas CGS-CIMB Research.

 

Sime Darby menjual keseluruhan 70% kepentingannya dalam Pelabuhan Jining kepada syarikat milik negara China iaitu  Jining Port and Shipping Development Group (JPSDG) dengan harga RM182.7 juta.

 

Pelabuhan tersebut merangkumi tiga pelabuhan yang beroperasi sepenuhnya iaitu Pelabuhan Yuejin, Pelabuhan Longgong dan Pelabuhan Taiping.

 

CGS-CIMB Research memberitahu, kumpulan tersebut dijangka mengalami kerugian berjumlah RM8 juta daripada penjualan berkenaan terutamanya disebabkan oleh diskaun penerimaan dan yuran transaksi.

 

Perjanjian tersebut bagaimanapun dijangka selesai pada Disember 2020.

 

"Kami mengekalkan ramalan pendapatan kami terhadap Sime Darby kerana kami melihat kesan minimum terhadap keuntungan bersig daripada penjualan.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'tambah' saham Sime Darby dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM2.70," jelas CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com