foodpanda lancar inisiatif HomeChef bantu tukang masak jana pendapatan dari rumah | DagangNews Skip to main content

foodpanda lancar inisiatif HomeChef bantu tukang masak jana pendapatan dari rumah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 April -  foodpanda telah melancarkan inisiatif HomeChef untuk menyediakan platform kepada tukang masak dari rumah untuk menjana pendapatan terus dari dapur sendiri. 

 

Menerusi pelancaran  terbaharu di bawah kempen Selera Homemade itu, para pengguna kini boleh menikmati pelbagai sajian terbaik dari dapur HomeChef di Malaysia melalui platform foodpanda.

 

Pengarah Komersial foodpanda Malaysia Jay Ar Juan berkata, pihaknya mahu bekerjasama dengan para HomeChef untuk mengembangkan perniagaan bagi mencapai matlamat keusahawanan peribadi mereka.

 

"HomeChef  mempunyai dua matlamat utama, yang pertama, kami melihat  potensi untuk memberi peluang pendapatan kepada rakyat Malaysia yang merupakan tukang masak yang menakjubkan tetapi tidak mempunyai modal untuk membuka kedai, tetapi mampu memasak dari dapur rumah sendiri.

 

"Seterusnya, adalah untuk memenuhi keinginan para pelanggan kami dengan menawarkan hidangan yang baru dimasak di dapur rumah HomeChef ke pintu rumah mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebahagian besar HomeChef foodpanda memulakan perniagaan mereka setelah kehilangan sumber pendapatan utama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan antara tahun 2020 hingga 2021. 

 

 

foodpanda

 

 

Oleh itu, foodpanda menyalurkan usaha untuk membantu mereka bukan sahaja mengekalkan tetapi juga membantu meningkatkan ekonomi tempatan.

 

Jay berkata, selain menyediakan platform untuk menjual produk masing-masing dan menjangkau pangkalan pengguna yang lebih luas, foodpanda juga menubuhkan pasukan khas untuk membantu memantau pertumbuhan, pemasaran dan operasi perniagaan HomeChef. 

 

"Program latihan dan pelbagai inisiatif telah disediakan dengan niat untuk meningkatkan lagi kemahiran F&B dan pengetahuan perniagaan mereka melalui kursus-kursus keselamatan makanan, pembungkusan berkesan, idea pemasaran, dan pelaksanaan serta persembahan makanan. 

 

"Mereka juga mempunyai pengalaman dalam bidang kulinari dan telah menghadiri Kursus Latihan Pengendali Makanan (LPM) oleh Kementerian Kesihatan, yang bermaksud mereka mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan," katanya.

 

Lebih daripada 4,000 HomeChef tersedia di seluruh negara, rakyat Malaysia kini mempunyai akses kepada pelbagai jenis hidangan yang dimasak di rumah, termasuk kegemaran tempatan, sajian antarabangsa, pencuci mulut, bakeri dan banyak lagi dengan hanya beberapa sentuhan. 

 

Antara HomeChef kegemaran ramai termasuk Ming Kitchen, Chef Arm Kitchen, Nasi Lemak Bonda, Waffle Yummy dan Oliver’s Pasta.

 

Bakal Home Chef dialu-alukan untuk memohon menjadi sebahagian daripada inisiatif foodpanda yang semakin berkembang di HomeChefs. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi homechef@foodpanda.my. - DagangNews.com