FTP tingkatkan kecekapan operasi syarikat perkayuan | DagangNews Skip to main content

FTP tingkatkan kecekapan operasi syarikat perkayuan

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (berdiri, kiri) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM STS, Raja Yahya Raja Ariffin (dari kiri); Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani dan Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili bagi pelaksanaan Program Transformasi Kilang hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Tranformasi Kilang (FTP) yang akan berjalan bagi tempoh setahun. 

 

Program itu membabitkan kerjasama antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), SIRIM STS Sdn. Bhd. dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC).

 

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, sebanyak 14 syarikat telah terpilih untuk menyertai program ini dan kebanyakannya adalah dari sektor industri perabot.

 

Katanya, FTP bertujuan menyokong dan membantu industri perkayuan khususnya syarikat-syarikat terlibat menjalankan penilaian serta kajian diagnostik kilang untuk mengenal pasti ketidakcekapan dan pembaziran melalui
aplikasi alat dan teknik Green 5S dan pengurusan Lean.

 

"Penganjuran program Pengurusan Lean dan Green 5S oleh MTIB sejak 2014 telah memberi manfaat kepada 171 buah syarikat dan sebanyak RM89.6 juta berjaya dijimatkan hasil kecekapan operasi syarikat terbabit," katanya dalam majlis menandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara 3 agensi berkenaan hari ini.

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani; Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM STS, Raja Yahya Raja Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili.

 

Kerjasama ini bertujuan memperkasakan pembangunan industri perkayuan di Malaysia melalui penggunaan teknologi automasi dan inovasi berkaitan Industri 4.0, dengan penyediaan insentif bagi menggalakkan penggunaan automasi serta mekanisasi. 

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi MTIB selaku peneraju utama bagi program-program automasi, mekanisasi, digitalisasi dalam industri perkayuan negara, berperanan sebagai penyelaras keseluruhan pelaksanaan FTP. 

 

Para peserta program ini terdiri daripada syarikat-syarikat perkayuan yang dipilih berdasarkan kepada konsep first come, first serve basis serta memenuhi kriteria ditetapkan. 

 

Jeck Seng berkata, kementerian dan MTIB akan terus proaktif dalam menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha untuk memperkasakan industri perkayuan melalui adaptasi penggunaan teknologi dan inovasi yang kompetitif dan cekap. - DagangNews.com