KUALA LUMPUR 16 Feb - Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara meraih dana sebanyak AS$144 juta (RM605 juta) dalam pusingan ekuiti Siri C+ terlebih langganan yang diketuai oleh dana modal teroka Jepun SoftBank Vision Fund 2.
Ia turut menyaksikan penyertaan pelabur baharu khususnya gergasi teknologi Vietnam VNG Corporation, Rapyd Ventures, pelabur global yang berpangkalan di Asia iaitu EDBI, Indies Capital, K3 Ventures dan Ascend Vietnam Ventures.
Syarikat itu juga menerima kemudahan pinjaman sebanyak AS$150 juta (RM630 juta) daripada institusi kewangan di seluruh Eropah, Amerika Syarikat dan Asia dengan beberapa daripadanya telah disalurkan sejak 2021.
Pendanaan ini menyusuli jumlah dana sebanyak AS$45 juta (RM189 juta) yang diraih dalam Siri C sebelum ini antara 2020 dan 2021.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo berkata, pihaknya berbesar hati dengan kepercayaan pemegang saham baharu dan sedia ada.
Katanya, Funding Societies ditubuhkan untuk memperkasa PKS dengan menyelesaikan masalah terbesar mereka iaitu akses kepada pembiayaan, terutama pembiayaan tidak bercagar.
"Antara salah faham umum ialah kami dilihat sebagai pesaing bank. Realitinya, kami 'bersaing' dengan modal simpanan, rakan dan keluarga serta kad kredit peribadi.
"Setelah membuktikan keupayaan kredit kami yang diterajui kecerdasan pintar (AI) dalam tempoh krisis kewangan yang belum pernah berlaku sebelum ini, kami berazam untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada PKS dengan perbankan-neo dan mengukuhkan kehadiran kami di Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Platform teknologi kewangan itu kini dilesenkan di 4 negara di rantau ini iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan beroperasi di Vietnam.
Sehingga kini, ia telah mengagihkan lebih AS$2 bilion (RM8.4 bilion) dalam pembiayaan perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) melalui lebih 5 juta tawaran pembiayaan di Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berkata, kumpulan mahu memperluaskan rangkaian perkhidmatan kewangan digital untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan PMKS, sama ada yang masih terabai atau yang kurang mendapat perhatian sewajarnya di Malaysia. - DagangNews.com