Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Okt. - Platform pembiayaan rakan ketara (P2P) terbesar di Malaysia, Funding Societies Malaysia menjalin kerjasama dengan anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) iaitu TM Info-Media Sdn. Bhd. (TMIM) untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan perniagaan kepada PMKS.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berkata, bantuan kewangan itu memfokuskan kepada PMKS yang tercicir (underserved) dan tidak dibantu (unserved).
"Selaku platform kewangan rakan setara P2P terbesar di rantau ini, kerjasama kami dengan TMIM bakal memacu capaian kami dalam menyediakan bantuan kewangan yang amat diperlukan oleh pemain PMKS tempatan.
"Ini amat bersesuaian pada masa kini kerana PMKS adalah antara kumpulan yang paling terkesan dengan pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerjasama berkenaan memberi peluang kepada PMKS untuk mendapatkan akses yang lebih meluas kepada penyelesaian pembiayaan digital.
Penyelesaian tersebut akan membantu pengembangan perniagaan serta memastikan kelesterian PMKS.
Bantuan itu juga menyediakan pilihan pembiayaan yang penting untuk PMKS yang sedia ada dan menjadi batu loncatan kepada para usahawan yang baru bermula.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TMIM, Sean Koh Chin Soon berkata, pihaknya telah mengubah Platform Yellow Pages Malaysia kepada edisi digital, laman web dan aplikasi mudah alih untuk memudahkan perhubungan PMKS dengan sumber yang diperlukan.
"Kerjasama ini boleh mengembangkan potensi mereka dengan lebih jauh seterusnya menyokong kelestarian perniagaan, terutamanya semasa pandemik COVID-19.
"Ini juga selari dengan usaha kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan melonjakkan perniagaan tempatan selain bertepatan dengan peranan unik Kumpulan TM dalam pembinaan negara dan sebagai penggerak aspirasi Negara Digital Malaysia," tambahnya.
PMKS yang berkelayakan berpeluang menikmati manfaat kewangan seperti berikut;
- Potongan diskaun yuran pemprosesan
- Kemasukan wang segera dengan kelulusan pantas dalam tempoh lima (5) hari bekerja
- Tempoh yang fleksibel sehingga 18 bulan
- Tiada cagaran diperlukan
- Keperluan dokumen yang minimum
Kolaborasi itu juga adalah langkah penting ke arah misi Funding Societies bagi memperbaiki kelangsungan PMKS dan peranan TM sebagai penggerak Digital Malaysia.
PMKS yang berminat boleh membuat permohonan bantuan kewangan daripada Funding Societies di laman web Yellow Pages yellowpages.my/fundingsocieties/ bermula 5 Oktober 2020.- DagangNews.com