G3 Global raih kontrak bernilai RM118.38 juta sedia sistem keselamatan di KLIA, klia2 | DagangNews Skip to main content

G3 Global raih kontrak bernilai RM118.38 juta sedia sistem keselamatan di KLIA, klia2

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Mei - G3 Global Bhd. meraih kontrak bernilai RM118.38 juta daripada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk membangunkan sistem keselamatan bersepadu lapangan terbang (AIS3) untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

 

Ia turut membabitkan kerjasama dengan SenseTime Group Ltd, firma perisian kecerdasan pintar (AI) yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong (HKEX).

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, G3 Global berkata, kontrak tersebut yang dianugerahkan anak syarikat milik penuh MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MA Sepang) pada 15 April 2022, merupakan projek arkitek sistem induk pertama dalam kalangan 10 lapangan terbang terbaik dunia.

 

Menerusi kontrak itu, G3 Global akan memanfaatkan keupayaan AI dan pengetahuan industri yang mendalam tentang SenseTime untuk membangunkan platform bersepadu yang canggih termasuk mempertingkatkan sistem sedia ada untuk meningkatkan keseluruhan keupayaan pengurusan keselamatan.'

 

 

Dirk Quinten
Dirk Quinten

 

 

Pengarah Urusan G3 Global, Dirk Quinten berkata, AIS3 akan menjadi kunci utama untuk mengubah KLIA dan klia2 menjadi lapangan terbang berteknologi tinggi di dunia dan membolehkannya mengendalikan lebih banyak penumpang dengan lebih baik pada masa depan. 

 

Katanya, ketika sebelum pandemik pada 2019, kedua-dua lapangan terbang itu telah memberi perkhidmatan kepada 62.3 juta penumpang, dengan hampir 72% atau 44.6 juta adalah ketibaan antarabangsa.

 

"Selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa, trafik lapangan terbang pasti akan pulih dan oleh itu, terdapat keperluan besar untuk sistem pengurusan keselamatan pintar berteknologi maju untuk kedua-dua lapangan terbang ini. 

 

"Maka, di sinilah terletaknya kepentingan sistem AIS3 kami akan datang dengan dipacu keupayaan AI," katanya hari ini. 

 

Beliau turut menyifatkan kerjasama dengan SenseTime dalam projek tersebut, membolehkan kumpulan memanfaatkan engalaman dan rekod prestasi yang diperoleh untuk projek berasaskan analitik proprietari akan datang.

 

"G3 Global juga boleh mempelbagaikan penglibatan dalam Augmented Reality dan penyelesaian runcit, yang diintegrasikan dengan inisiatif Data Besar lapangan terbang," tambahnya. - DagangNews.com