Gabenor BNM nafi kenaikan OPR menyebabkan peningkatan kadar kemuflisan | DagangNews Skip to main content

Gabenor BNM nafi kenaikan OPR menyebabkan peningkatan kadar kemuflisan

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus

KUALA LUMPUR 12 Mei - Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus menafikan bahawa kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) telah menyebabkan peningkatan kadar kemuflisan.

 

Beliau berkata, tiada angka untuk menyokong dakwaan itu sambil menambah bahawa secara agregat, isi rumah terus memegang aset kewangan melebihi hutang yang membolehkan mereka menguruskan kos pinjaman yang lebih tinggi.

 

“Saya ingin menegaskan bahawa tidak benar kenaikan OPR menyebabkan peningkatan kadar kemuflisan.

 

“Kami akui terdapat segmen dan sektor yang memerlukan bantuan kerana keadaan mereka, dan bantuan masih tersedia untuk mereka yang memerlukan.

 

"Dengan semua syarat ini, adalah tepat pada masanya, perlu dan wajar bahawa dasar monetari ditentukur semula untuk memastikan kami terus berada di landasan pertumbuhan yang mampan," katanya ketika mengumumkan Prestasi Ekonomi suku pertama 2023, hari ini.

 

BACA JUGA: Bank Negara Malaysia naikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3%

 

BNM pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari (MPC) pada 3 Mei 2023 meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3% menyebabkan kadar siling dan lantai koridor OPR dinaikkan masing-masing kepada 3.25% dan 2.75%.

 

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, keputusan untuk menaikkan OPR dibuat kerana ekonomi negara terus kukuh, keluaran dalam negara kasar (KDNK) melepasi paras pra-pandemik, pengangguran menurun dan isi rumah kekal berdaya tahan.

 

Beliau berkata, ketika prospek pertumbuhan domestik yang berdaya tahan, MPC menilai bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk menormalkan lagi tahap  monetari.

 

Dengan keputusan itu, MPC telah menarik balik rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis COVID-19 dalam menggalakkan pemulihan ekonomi.

 

"Pada paras semasa OPR 3%, pendirian dasar monetari sedikit akomodatif dan kekal menyokong ekonomi," katanya. - DagangNews.com