Gabungan 4 telco cadang guna model DWN bagi pelancaran 5G, tunggu keputusan kerajaan | DagangNews Skip to main content

Gabungan 4 telco cadang guna model DWN bagi pelancaran 5G, tunggu keputusan kerajaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Feb - Gabungan 4 syarikat telekomunikasi (telco) mengemukakan cadangan pelaksanaan dwi-rangkaian borong (DWN) yang akan dibangunkan dan dikendalikan oleh 2 konsortium termasuk kerajaan, Digital Nasional Bhd. (DNB) dan operator rangkaian mudah alih (MNO) yang bersedia untuk melabur. 

 

Syarikat telco tersebut terdiri daripada Celcom Axiata Bhd., Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Maxis Bhd. dan U Mobile Sdn. Bhd. telah mengemukakan cadangan pelaksanaan DWN kepada kerajaan.

 

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berpendapat model DWN sebagai pilihan yang boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan keupayaan MNO, sumber sedia ada termasuk infrastruktur, rantaian bekalan dan pengalaman ribuan bakat teknikal Malaysia.

 

Katanya, industri telekomunikasi sudah berbincang dengan kerajaan dan telah memberikan pandangan serta fakta secara langsung berhubung perkara tersebut.
 

 

"Kami komited dan berharap dapat memainkan peranan dalam merealisasikan faedah mampan jangka panjang kepada negara, penyelesaian menang-menang untuk kerajaan, rakyat dan industri.

 

"Memandangkan perkara ini akan dibentangkan ke Kabinet, seperti diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, kami dengan hormatnya akan menunggu keputusan daripada kerajaan," jelasnya. 

 


Baca : KKMM, MOF bentang memorandum Jemaah Menteri selesai isu DNB bulan depan

 

 

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Kewangan (MOF) akan membentangkan
memorandum Jemaah Menteri pada bulan depan untuk menyelesaikan isu berkaitan DNB.

 

Annuar Musa sebentar tadi berkata, kedudukan DNB dan sistem Rangkaian Borong Tunggal (SWN) atau DWN yang menjadi perdebatan dan polemik itu perlu diselesaikan segera, susulan hasil mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang diadakan semalam.

 

Menurut beliau, jika dibiarkan berlarutan ia akan menjejaskan program pelaksanaan  5G yang merupakan faktor utama kepada program Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan pelaksanaan MyDigital.

 

Pada 15 Disember lalu, DNB mengumumkan Telekom Malaysia Bhd. dan YTL Communications merupakan 2 syarikat pertama yang memanfaatkan tawaran DNB bagi perkhidmatan borong 5G percuma kepada semua pengendali rangkaian mudah alih yang disepadukan dalam rangkaian DNB. - DagangNews.com