Gabungan teknologi 5G-IR4.0 penentu kemajuan ekonomi negara | DagangNews Skip to main content

Gabungan teknologi 5G-IR4.0 penentu kemajuan ekonomi negara

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Landskap pertumbuhan ekonomi negara berlaku perubahan setelah penularan COVID-19 mendesak peralihan ke arah digital.

Sehubungan itu, pelaksanaan teknologi 5G dan industri revolusi 4.0 (IR4.0) perlu diusahakan secara beriringan bagi memperkasa adaptasi transformasi digital dan teknologi sekali gus membawa kepada kemajuan ekonomi negara. 

Menteri Menteri Kanan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, galakan untuk semua sektor ekonomi tempatan mengadaptasi transformasi digital dan teknologi IR4.0 merupakan antara pelaksanaan dasar utama kerajaan selepas penularan COVID-19.

Jelasnya, transformasi berkenaan perlu menjadi usaha bersepadu oleh semua pihak berkepentingan termasuk syarikat milik kerajaan (GLC), perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat multinasional (MNC) dan institusi kewangan serta agensi kerajaan.

“Pandemik COVID-19 mendorong kerajaan mengeluarkan tiga dasar utama. Pertama, pelaksanaan ekonomi kecemasan yang bersasar dan seimbang untuk sektor ekonomi yang dibuka secara berperingkat dan bernilai RM295 bilion setakat ini. 

 

mohamed azmin
MOHAMED AZMIN ketika berucap pada ‘Invest Malaysia-Virtual Series 3’ hari ini.

 

“Kedua, memastikan keyakinan pelabur dikembalikan dengan memberi kemudahan pelaburan dan mempromosi akses pasaran yang lebih besar untuk mengekalkan perdagangan antarabangsa.

“Ketiga, mendorong industri domestik untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan mereka ke arah membina daya tahan yang lebih baik dan memastikan kemampanan. Ini memerlukan usaha transformasi digital dan juga dasar holistik dalam menghadapi IR4.0,” kata Mohamed Azmin. 

Beliau berkata demikian pada ucapan penutup ‘Invest Malaysia-Virtual Series 3’ hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, syarikat PKS tempatan sebelum pandemik COVID-19 lebih berhati-hati untuk menerapkan teknologi IR4.0, tetapi pasca pandemik berkenaan mendesak mereka untuk berubah.

“Sebenarnya, daripada hasil penglibatan kami dengan PKS dan pihak berkepentingan lain mendapati penskalaan dan bagaimana untuk memodenkan proses pengeluaran, menaik taraf peralatan dan kemajuan teknologi yang lebih tinggi ke arah itu menjadi isu utama.

“Secara ringkasnya, syarikat kini lebih mudah menerima teknologi IR4.0 untuk menjadi lebih cekap bagi mengurangkan kelemahan pengeluaran dan pengedaran. Ini merupakan titik penting memandangkan PKS menyumbang hampir 97.1% daripada landskap pembuatan negara,” jelas beliau.

Oleh itu, Mohamed Amin berkata, kerajaan komited untuk mengembangkan ekosistem perindustrian yang komprehensif dalam merebut peluang baharu menerusi proses pembuatan yang lebih pintar serta mengubah nilai rantaian dan model perniagaan secara radikal. - DagangNews.com