Gadang kembali catat untung bersih RM6.47 juta pada 3QFY24 didorong sumbangan lebih tinggi bahagian hartanah | DagangNews Skip to main content

Gadang kembali catat untung bersih RM6.47 juta pada 3QFY24 didorong sumbangan lebih tinggi bahagian hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 April - Gadang Holdings Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM6.47 juta bagi suku ketiga berakhir 29 Februari 2024 (3QFY24) berbanding rugi bersih RM4.96 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, keuntungan itu didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada bahagian hartanah.

 

Gadang berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat kepada RM141.15 juta berbanding RM123.98 juta bagi tempoh 3QFY23 manakala bagi tempoh sembilan bulan berakhir 29 Februari 2024 (9MFY24) meningkat kepada RM433.07 juta berbanding RM382.12 juta pada tahun sebelumnya.

 

Katanya, hasil daripada bahagian pembinaan kumpulan itu meningkat kepada RM63.26 juta berbanding RM60.82 juta menjadikan kerugian kasar kumpulan dalam bahagian itu menyusut kepada RM4.36 juta berbanding RM13.17 juta pada tahun lalu.

 

"Hasil daripada bahagian pembinaan bagi tempoh 9MFY24 menyusut kepada RM184.45 juta berbanding RM190.68 juta bagi tempoh sama tahun lalu disebabkan sesetengah projek sudah siap sepenuhnya.

 

"Jumlah rugi kasar juga meningkat kepada RM16.76 juta berbanding RM15.25 juta pada tahun lalu disebabkan kos operasi yang tinggi disebabkan peningkatan harga bahan mentah serta kos tenaga kerja yang tinggi," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi bahagian hartanah meningkat kepada RM69.3 juta berbanding RM56.93 juta didorong jualan yang lebih baik dan kemajuan kerja yang lebih tinggi daripada projek pembangunan.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu akan terus meneroka peluang baharu secara aktif bagi mengukuhkan hasil kumpulan pada masa hadapan.

 

Pada masa sama katanya, mereka juga akan memastikan penyiapan projek tepat pada masanya selain berhemah dalam urusan perniagaan dan melaksanakan langkah terbaik bagi meningkatkan kecekapan operasi bagi mencapai pertumbuhan mampan bagi jangka panjang. - DagangNews.com