Gagasan Nadi Cergas, Permodalan Negeri Selangor lancar projek Idaman Amani bernilai RM286 juta | DagangNews Skip to main content

Gagasan Nadi Cergas, Permodalan Negeri Selangor lancar projek Idaman Amani bernilai RM286 juta

Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Ir. Dr. Muhamad Fuad Abdullah (kiri) dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (kanan) semasa majlis pecah tanah projek Idaman Amani di Bandar Elmina pada 6 September 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Gagasan Nadi Cergas Bhd dan Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) melancarkan pembinaan projek perumahan mampu milik Idaman Amani bernilai RM286 juta di Bandar Elmina, hari ini.

 

Projek itu dibangunkan di atas tapak seluas 3.6 hektar merangkumi dua blok 32 tingkat yang terdiri daripada 1,063 pangsapuri mampu milik separa berperabot. 

 

Ia adalah antara usaha Kerajaan Selangor bagi meningkatkan pemilikan rumah bagi golongan B40 dan M40.

 

Idaman Amani dibangunkan oleh Gagasan Nadi Cergas Berhad dengan kerjasama PNSB Construction Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat PNSB. Pembangunan dijangka siap menjelang suku ketiga 2028. 

 

Pengerusi Gagasan Nadi Cergas, Ir. Dr. Muhamad Fuad Abdullah berkata, pihaknya memiliki rekod cemerlang dalam sektor perumahan mampu milik, terutamanya di Lembah Klang.

 

Beliau berkata, mereka berhasrat sehingga 14,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lapan tahun akan datang, seiring dengan matlamat kumpulan itu untuk menawarkan kediaman berkualiti tinggi kepada golongan B40 dan M40.

 

"Projek-projek perumahan mampu milik kami, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.7 bilion, sedang berjalan lancar dan dijangka akan meningkatkan prestasi kewangan kami di masa hadapan. 

 

"Kami akan terus menggunakan model perniagaan bersepadu untuk membangunkan rumah yang berkualiti, moden, dan mampu milik, demi memberikan nilai terbaik kepada pembeli serta memperkukuh kedudukan kami di pasaran," katanya dalam satu kenyataan selepas majlis pecah tanah projek itu yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

 

Projek Idaman Amani menawarkan unit tiga bilik tidur separa berperabot dengan ruang binaan 1,000 dan 1,120 kaki persegi, bermula dengan harga dari RM250,000 seunit. 

 

Setiap unit dilengkapi dengan kemudahan seperti televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari, pemanas air, dan penghawa dingin untuk gaya hidup yang selesa dan moden.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Permodalan Negeri Selangor, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata,  projek itu merupakan usahasama ketiga bagi Kumpulan PNSB bersama kumpulan Gagasan Nadi Cergas selepas pelancaran Idaman Bukit Jelutong pada 26 Ogos 2022 (1,260 unit) dan juga Idaman Kwasa Damansara (1,669 unit untuk fasa 1) pada 17 Februari 2023.

 

"PNSB melalui anak syarikat, PNSB Construction Sdn. Bhd. (PCSB) akan terus merealisasikan Projek Rumah Idaman di kawasan-kawasan strategik dan berpotensi tinggi di dalam Negeri Selangor. 

 

"Melalui projek-projek yang dilaksanakan dan direalisasikan oleh PCSB, sebanyak 41,361 unit Rumah Idaman bakal dibangunkan bersama rakan-rakan strategik," katanya. - DagangNews.com