Gaharu: Dari hutan ke pasaran global | DagangNews Skip to main content

Gaharu: Dari hutan ke pasaran global

Oleh Prof. Dr. Rozi Mohamed

PESONA gaharu telah memikat manusia sejak berabad lamanya oleh sebab reputasinya dalam mencipta suasana tenang sesuai untuk kerohanian, serta kemampuannya yang dikatakan boleh menyembuhkan banyak jenis penyakit.

 

Aromanya yang memikat pernah mendorong pelaut-pelaut zaman purba untuk mengharungi badai dan taufan dalam usaha mencari sumber gaharu.

 

Gaharu hanya dihasilkan oleh beberapa spesis pokok hutan tropika, yang paling terkenal adalah dari genus Aquilaria atau lebih dikenali di Malaysia sebagai karas.

 

Malaysia sebagai pengeksport gaharu kedua terbesar di dunia, selepas Indonesia, telah menyaksikan peningkatan penanaman gaharu.

 

Hingga Disember 2019, lebih 200 syarikat dan individu telah berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas dengan keluasan ladang mencapai hampir 2,500 hektar dan jumlah pokok mencapai 2.3 juta.


 

Prof. Dr. Rozi Mohamed
          Prof. Dr. Rozi Mohamed

 

 

Terdapat juga syarikat dan individu yang mendaftar sebagai pengeksport, pengilang gaharu, dan pengusaha produk gaharu di seluruh Malaysia.

 

Produk gaharu yang paling biasa dieksport ialah  kepingan kayu, kayu blok, minyak pati, serpihan kayu, dan  habuk.

 

Kepingan kayu boleh diproses lagi menjadi pelbagai produk sekunder, manakala minyak pati boleh digunakan untuk membuat minyak wangi.

 

Kayu gaharu berkualiti terbaik mempunyai aroma yang sangat unik sehingga mendapat jolokan wangian syurga dengan bau yang berbeza apabila dibakar perlahan-lahan atau disuling menjadi minyak pati.

 

Haruman yang tahan lama menunjukkan kualiti yang unggul dan mempengaruhi gred dan harga.

 

Penggunaan gaharu dalam budaya pelbagai masyarakat dari seluruh pelusuk dunia memberikan ia nama berbeza seperti oud, agarwood, aloeswood, dan chen xiang antara lainnya.

 

Penanaman Aquilaria di Malaysia pada mulanya diusahakan oleh orang perseorangan dan pekebun kecil, kemudian diikuti ladang berskala besar oleh syarikat perladangan dan pemain industri antrabangsa.

 

Terdapat lima spesis Aquilaria yang biasa ditanam secara berleluasa di ladang. Ia termasuk dua spesis tempatan iaitu Aquilaria malaccensis di Semenanjung Malaysia dan Aquilaria beccariana di Sabah.

 

 

gaharu

 

 

Manakala spesis esotik adalah Aquilaria sinensis yang berasal dari negara Cina, dan Aquilaria subintegra yang berasal dari negara Thai.

 

Juga turut ditanam adalah Aquilaria crassna yang diimpot dari negara Thai, Kemboja, Laos dan Vietnam.

 

Dalam memilih spesis untuk ditanam, penanam perlu mengambil kira beberapa kriteria termasuk pasaran yang disasar, kesesuaian penanaman spesis di sekitaran baharu, sumber anak pokok atau benih, dan pengurusan ladang yang menjamin pertumbuhan pokok sehingga usia optimal untuk diinduksi bagi penghasilan gaharu.

 

Ini adalah faktor penting yang mesti dipertimbangkan oleh pengusaha bagi mendapatkan hasil yang menguntungkan, terutamanya kerana penanaman komersial untuk penghasilan gaharu merupakan proses yang kompleks dan pelan pelaburan jangka panjang.

 

Gaharu yang pada mulanya dituai dari pokok yang tumbuh liar di hutan sebagai aktiviti ekonomi lestari segelintir masyarakat kampung dan orang asli di Malaysia, kini telah  menjadi industri global yang signifikan atas sebab nilainya yang melampaui emas.

 

Namun demikian, permintaan yang tinggi sebaliknya telah mendorong eksploitasi berlebihan dan menjejaskan penjanaan semula pokok dalam hutan semulajadi.

 

 

prog rozi
Prof. Dr. Rozi di makmal mengkaji gaharu di UPM

 

 

Walaupun gaharu di Malaysia telah memasuki pasaran global, isu-isu fundamental seperti pembalakan haram ibu pokok dan kebanjiran pendatang asing yang mencuri gaharu di hutan simpan haruslah diberi keutamaan.

 

Pembentukan gaharu dalam pokok karas adalah sukar dikesan, menyebabkan pencari gaharu menggunakan jalan mudah dengan menebang ibu pokok untuk menuai gaharu sedangkan kebarangkalian untuk menemui gaharu adalah sangat rendah di hutan semulajadi.

 

Eksploitasi ini telah menyebabkan penurunan ketara dalam populasi pokok karas dan menjejaskan bekalan gaharu dari hutan semula jadi.

 

 Atas sebab khuatir pokok karas diancam kepupusan, spesis Aquilaria telah disenaraikan di bawah Senarai Merah Spesis Terancam, Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN) pada tahun 1998, dan Apendiks II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesis Terancam (CITES) pada tahun 2005.

 

Sebagai langkah pemuliharaan, penanaman Aquilaria telah ditubuhkan secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan dagangan gaharu di pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Disamping itu kerajaan harus mempergiatkan usaha konservasi spesis Aquilaria, memantau aktiviti pengutipan gaharu liar, dan membangunkan industri gaharu yang mampan dan mesra alam.

 

Kesimpulannya, gaharu adalah sumber semula jadi yang bernilai tinggi dengan pelbagai kegunaan dan kepentingan dalam pasaran antarabangsa.

 

Tindakan pemuliharaan dan pengurusan yang berkesan adalah penting untuk memastikan kelestarian gaharu di Malaysia dan manfaatnya kepada ekonomi dan masyarakat di sini. - DagangNews.com

 

Prof. Dr. Rozi Mohamed adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM