IPOH 7 Julai - Galeri Rumah Lat yang menghimpunkan semua hasil karya kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat akan dirasmikan pada 8 Julai.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual merasmikan majlis pembukaan tersebut.
Lokasi rumah dan galeri ini terletak di kawasan Silverlakes Premium Outlet di Batu Gajah yang sedang dibangunkan sebagai tarikan kepada pengunjung.
Kompleks galeri ini terdiri daripada replika sebuah rumah kayu tradisional Perak iaitu Rumah Lat dan sebuah galeri.
Rumah replika tersebut dibina berdasarkan buku komik popular Lat, Kampung Boy yang diterbitkan pada tahun 1979 oleh Berita Publishing.
Sebahagian besar daripada barangan yang dipamerkan di dalam rumah ini adalah milik asal keluarga Lat.
Bahagian galeri pula mempamerkan beberapa karya pilihan kartunis tersebut merentasi empat dekad bermula dari tahun 1964.
Pada 29 Ogos tahun lalu, majlis menandatangani perjanjian pengurusan Galeri Rumah Lat telah diadakan antara Lembaga Muzium Negeri Perak dengan Rumah Lat Sdn. Bhd.
Perjanjian ini dimeterai Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dengan Lat.
Projek Rumah Lat ini dirancang sejak 2011 apabila kerajaan negeri Perak menyediakan kawasan untuk mendirikan galeri seni lukis kartun dan komik sebagai tarikan pelancongan Perak.
Pembinaan rumah kayu dan galeri bermula dua tahun kemudian di Batu Gajah dibiayai Kementerian Pelancongan dan Warisan.
Difahamkan kerja-kerja pembinaan Rumah Lat dan galeri ini siap dua tahun lalu cuma, proses pemindahan barang ke dalam galeri mengambil masa selain tertangguh disebabkan pandemik COVID-19. - DagangNews.com