Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Jan - Telekom Malaysia (TM) memaklumkan gangguan perkhidmatan unifi TV di seluruh negara yang berlaku berikutan insiden kebakaran sistem jana kuasa yang memberi kesan kepada perkasasan “Bekalan Kuasa Tidak Terganggu” atau “Uninterruptible Power Supply” (UPS) yang berada di Kompleks TM IT, di Cyberjaya malam tadi dijangka pulih lewat petang ini.
Dalam satu kenyataan, TM berkata, insiden tersebut telah menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan unifi TV yang melibatkan hampir 300,000 penonton unifi TV.
Katanya, lain-lain perkhidmatan TM dan unifi tidak terjejas dan pihaknya telah membuat pengumuman segera di saluran media sosial TM bagi memaklumkan kepada pelanggan.
"Kami telah mengiatkan penglibatan perkhidmatan pelanggan kami untuk menjawab panggilan dan melayani sebarang pertanyaan.
"Kami sedang giat berusaha bersama dengan pasukan kontraktor dan jurutera kami bagi memastikan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut dibaik pulih semula, dan sambungan tenaga kuasa dijangka siap sepenuhnya pada jam 12 tengahari hari ini.
"Perkhidmatan unifi TV dijangka kembali pulih pada jam 3.00 petang hari ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, menurut TM, TMpoint Cyberjaya akan ditutup buat sementara waktu disebabkan bekalan kuasa yang rendah.
"Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan-pelanggan, dan akan terus memastikan keselamatan dan kesejahteraan anggota dan kontraktor diutamakan sepanjang proses baik pulih ini," katanya.
Berhubung insiden kebakaran berkenaan, TM berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengawal keadaan untuk memadamkan kebakaran dan memastikan keselamatan premis.
Ujarnya, blok bangunan yang terlibat tidak beroperasi sepenuhnya pada waktu kejadian dan hanya sebilangan kecil anggota yang berada di lokasi tersebut. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
"Setakat ini, punca kebakaran masih lagi belum diketahui dan TM akan memberi bekerjasama sepenuhnya di dalam sebarang siasatan sepertimana yang diperlukan oleh pihak berkuasa," katanya. -DagangNews.com