KUALA LUMPUR 31 Jan - Perdagangan Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi pasca pandemik meskipun penularan varian baharu COVID-19, Omicron masih membimbangkan.
Perdagangan Malaysia pada 2021 mencatat prestasi memberangsangkan dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencecah paras tertinggi setakat ini.
Malah, ia melakar pencapaian baharu apabila buat pertama kali melepasi RM2 trilion serta mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994.
MIDF Research menjangkakan prestasi eksport dan import masing-masing akan berkembang 4.5% dan 5.1% tahun ini dengan sektor perdagangan akan terus berkembang tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, pertumbuhannya adalah pada kadar yang lebih normal selepas mencatat pertumbuhan kukuh tahun lalu.
"Kami menjangkakan eksport berkembang pada 4.5% disokong oleh prospek yang menggalakkan daripada permintaan global bagi produk elektrik dan elektronik dan komoditi seperti minyak sawit, gas asli cecair (LNG) dan petroleum.
"Bagi import pula yang dijangka berkembang 5.1% akan dipacu menerusi pemulihan perbelanjaan domestik dan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh.
"Tambahan pula, kami berpendapat, kerajaan akan cuba untuk mengelak daripada melaksanakan sekatan penuh, yang mana ini boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam nota kajian.
Namun, menurutnya, di sebalik pertumbuhan yang optimis, terdapat beberapa faktor boleh menjejaskan prospek dagangan pada tahun ini.
"Ini termasuklah kelembapan di China, pelaksanaan sekatan pergerakan yang lebih ketat di beberapa negara, gangguan bekalan yang berterusan dan kos pengeluaran semakin meningkat," tambahnya.
Jumaat lalu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh adalah seiring dengan pasaran-pasaran di rantau ini khususnya Indonesia, Taiwan, China, Republik Korea, Thailand dan Singapura yang turut menunjukkan trend pemulihan daripada krisis COVID-19.
Eksport berjumlah RM1.24 trilion, mencapai 99% daripada unjuran yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025, empat tahun lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan.
Lebihan dagangan pula direkodkan bagi 24 tahun berturut-turut sejak 1998. Pencapaian ini disokong terutama oleh pemulihan permintaan luar dan harga komoditi yang lebih tinggi.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, varian Omicron yang lebih meluas di peringkat global boleh mengehadkan lagi kecekapan pengurusan pelabuhan.
Malah, katanya, ia juga memburukkan lagi tekanan rantaian bekalan yang baru sahaja mula menunjukkan tanda-tanda kelonggaran.
"Malaysia masih mengunjurkan untuk mengekalkan momentum eksportnya yang positif, disokong oleh permintaan berterusan untuk produk dan komoditi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E).
"Bagaimanapun, dengan tekanan rantaian bekalan masih sangat tinggi, kos logistik dan bahan mentah yang lebih tinggi mungkin memberi kesan kepada tekanan inflasi seterusnya untuk barangan tempatan," katanya.
Menurut Public Investment Investment Bank Research pula, prospek perdagangan yang cerah mungkin terjejas akibat penularan wabak COVID-19 dan masalah kekurangan tenaga buruh, keadaan yang mungkin bertambah baik secara beransur-ansur.
Pada masa sama, katanya, gangguan yang berpanjangan dalam rantaian bekalan pembuatan global juga boleh menjejaskan dagangan.
"Perbincangan perdagangan kedua yang akan bermula antara Amerika Syarikat (AS)-China juga menjadi kebimbangan kerana ia boleh menjejaskan permintaan bagi barangan pembuatan memandangkan ketidaktentuan mengenai langkah tarif dan bukan tarif, yang merupakan salah satu kebimbangan utama untuk 2022.
"Kemungkinan pemulihan dalam import, sebaliknya, boleh menjejaskan lebihan perdagangan memandangkan jangkaan pemulihan dalam import barangan modal dan perantaraan," jelas firma itu. - DagangNews.com