Gantikan PKP dengan dasar lain - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Gantikan PKP dengan dasar lain - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Apabila kerajaan memilih untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua walaupun lebih bersasar, keputusan tersebut masih mencetuskan kebimbangan rakyat terhadap dasar fiskal negara. 

 

Kerugian yang bakal dialami akibat PKP 2.0 mendesak kerajaan untuk bijak mengatur strategi, mengimbangi isu kesihatan serta ekonomi negara yang sepatutnya diperkukuh kini kembali dalam fasa pemulihan. 

 

Ibarat sebuah perjudian, jika PKP 2.0 tidak dilaksanakan, impak yang lebih besar dibimbangi tidak mampu ditampung, justeru Malaysia akan ‘tenat’. 

 

Namun, adakah PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) satu-satunya dasar sekatan pergerakan yang boleh diguna pakai ketika waktu genting ini?

 

Penyelidik Ekonomi di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah melihat PKP bukanlah polisi yang terbaik buat masa ini, sebaliknya pelaksanaan ujian secara besar besaran di zon merah boleh diperkenalkan.

 

"PKP 2.0 akan memberikan kesan besar kepada ekonomi negara. Jika kita boleh buat ujian yang banyak di zon merah, kita boleh asingkan pesakit positif secepat mungkin dan membenarkan mereka yang negatif untuk meneruskan aktiviti ekonomi harian.

 

Adli-IDEAS
Adli Amirullah

 

"Perkara ini bukanlah ganjil kerana ia berjaya dilakukan di Korea Selatan dan juga New Zealand. Bagi saya, sepatutnya bukan solusi utama pada saat ini," ujarnya kepada DagangNews.com menerusi aplikasi WhatsApp

 

Penguatkuasaan PKP buat kali kedua bukan sahaja menjadi mimpi ngeri buat perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tetapi meletakkan kerajaan di ambang dilema. 

 

Seperti mana analisis oleh pelbagai firma penyelidik termasuk CGS-CIMB Research, MIDF Research dan Standard Chartered, masing-masing meramalkan PKP 2.0 akan 'mengikis' kira-kira 0.7% hingga 1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. 

 

Senada pandangan Adli, sepucuk surat terbuka bertarikh 7 Januari 2021 dari sekumpulan pakar kesihatan yang turut ditandatangani oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman ‘dilayangkan’ kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Seramai 46 pakar kesihatan di Malaysia menzahirkan kebimbangan mereka kepada Muhyiddin, antara lainnya membangkitkan isu pelaksanaan PKP dan campur tangan kesihatan lain yang dilihat tidak menurunkan kes harian COVID-19. 

 

Seiring kenyataan mereka yang mengetengahkan metrik kebangsaan menggambarkan pengurusan pandemik COVID-19 semakin ‘suram’, 10 cadangan tindakan segera dan kritikal dikemukakan supaya Malaysia tidak memasuki ‘Rawatan Rapi COVID-19’.

 

1) Bagi meningkatkan rejimen ujian dengan triaj, massa dan kerap, gunakan ujian cepat yang murah iaitu kit (RTK-Ag), bukannya PCR, untuk membantu melambatkan jangkitan COVID-19.

 

2) Diagnosis kes RTK-Ag awal dalam 24 jam akan membolehkan pengasingan kes yang cepat dan memudahkan pengesanan kontak.

 

3) Mengautomasikan penjejakan kontak dengan aplikasi digital untuk mempercepat proses penjejakan di samping memanfaatkan data sains dan pembelajaran mesin yang dapat mengenal pasti hotspot di negara ini bagi saringan bersasar. Tindak balas pantas Find-Test-Trace-Isolate (FTTI) ini sahaja yang akan menghapuskan kluster COVID-19 dan mengurangkan penularan koronavirus berkala.

 

4) Mengambil kira jangkaan peningkatan kes COVID-19 dan bagi melindungi keupayaan penjagaan kesihatan, kami mencadangkan agar kes-kes klinikal tahap 1 dan 2 diasingkan di rumah dengan panduan yang jelas dari Kementerian Kesihatan (KKM). Kesejahteraan mereka dapat dijejak setiap hari dengan aplikasi digital, didukung oleh pemerkasaan masyarakat setempat dan pemindahan segera ke hospital COVID-19 yang diatur untuk kes-kes yang menurun.

 

5) Kita mesti melindungi pekerjaan profesional perubatan kita yang sangat baik di hospital COVID-19 dengan mengalihkan semua kes bukan COVID-19 ke hospital kerajaan dan swasta bukan COVID-19. Ini akan membolehkan mereka fokus pada kes-kes yang paling teruk dan tidak terganggu oleh kes-kes COVID-19 yang tidak bersimptom dan ringan, seterusnya mendatangkan hasil yang terbaik.

 

6) Sokong industri, pemacu pertumbuhan ekonomi kita dengan langkah-langkah kreatif untuk mengurangkan 3C. Inisiatif POIS (mencegah dan mengesan awal Outbreaks at Ignition Sites) merupakan kerjasama tiga hala kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menekankan rejim ujian pengesanan awal, meningkatkan langkah-langkah kesihatan dan kesihatan pendidikan industri serta pekerja asing. Inisiatif POIS yang dikembangkan melalui rundingan dengan industri dan WHO boleh ditiru di tempat lain sebagai alat operasi kesihatan awam, benar-benar merangkumi pendekatan kerajaan dan masyarakat yang menyeluruh.

 

7) Inisiatif serupa mesti diperluas ke hotspot COVID-19 lain, iaitu penjara dan pusat tahanan.

 

8) Mempercepat proses pengawalseliaan sehingga imunisasi boleh dimulakan sebaik sahaja dos pertama vaksin tiba di lapangan terbang. Menghapuskan maklumat vaksin COVID-19 yang palsu akan memperkasakan rakyat dengan maklumat yang sah ketika vaksin COVID-19 tiba. Selain mengutamakan golongan berisiko tinggi, pertimbangkan dengan serius untuk memvaksinasi pekerja asing dalam melindungi industri kita dan komuniti pelarian yang merupakan pusat penularan pandemik COVID-19 yang senyap. Kos vaksin mesti dihadkan kurang daripada RM100 setiap dos bagi mereka yang mendapatkan suntikan secara peribadi dan lanjutan kit ujian pantas mesti dihadkan kurang daripada RM100 setiap ujian untuk memastikan liputan yang lebih berpatutan dan meluas serta pengambilan kedua-dua vaksin dan ujian pantas.

 

9) Pasukan Petugas Khas COVID-19 yang terdiri daripada pelbagai sektor dan pakar mesti segera dibentuk untuk menyediakan nasihat berdasarkan bukti mengenai tindak balas pemerintahan yang harmoni di seluruh kementerian dan agensi. Pasukan Petugas COVID-19 akan membantu memacu negara keluar dari pandemik ini dengan kerap mengemukakan cadangannya dan audit terhadap kesan ekonomi kesihatan sebagai keputusan utama kepada Kabinet. Untuk memastikan kebebasan Pasukan Petugas COVID-19 ini, Persatuan Perubatan Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk memilih ahli. 

 

10) Jangan mempolitikkan pandemik tetapi sebaliknya mendapatkan konsensus dan pendekatan dua hala untuk meratakan lengkungan pandemik, mempercepat usaha untuk mencapai imuniti kelompok sebagai bentuk perlindungan masyarakat untuk hidup bersama dengan koronavirus. Pilihan Raya Umum (PRU-15) ketika pandemik yang tidak terkawal adalah bencana yang tidak dapat dibendung seperti yang dapat dilihat pada PRN Sabah.

 

Semalam, Muhyiddin membalas surat terbuka berkenaan selain mengalu-alukan sebarang nasihat dan pandangan daripada pakar kesihatan demi mengurangkan penularan kes jangkitan COVID-19 dan kesan jangka panjang wabak itu terhadap kehidupan rakyat.

 

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

 

Muhyiddin malah menjemput wakil pakar kesihatan yang menandatangi surat terbuka berkenaan untuk bertemu dengan beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan. - DagangNews.com