Gardenia sumbang RM1 juta untuk lebih 90,000 petugas barisan hadapan dan B40 semasa PKP   | DagangNews Skip to main content

Gardenia sumbang RM1 juta untuk lebih 90,000 petugas barisan hadapan dan B40 semasa PKP  

 

SHAH ALAM 30 Sept – Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. telah menyumbang bantuan berjumlah RM1 juta kepada lebih 90,000 petugas barisan hadapan dan golongan B40 menerusi Program Bantuan COVID-19 Gardenia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac 2020.

 

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, sebagai jenama yang prihatin, Gardenia KL bersyukur kerana berpeluang memastikan petugas barisan hadapan mendapatkan bekalan makanan yang secukupnya semasa bertugas dalam waktu kerja yang panjang, dan meringankan beban yang dihadapi oleh golongan B40.

 

‘’Kami amat berterima kasih kepada pasukan sukarelawan kami yang bekerja keras untuk memastikan bantuan diberikan tepat pada masanya di bawah Program Bantuan COVID-19 Gardenia dalam tempoh 18 bulan lepas.

 

‘’Kami juga merakamkan penghargaan setulus ikhlas kepada rakan-rakan komuniti Gardenia KL yang membolehkan bantuan sampai kepada masyarakat yang paling memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Program Bantuan COVID-19 Gardenia yang meliputi lapan fasa dilaksanakan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

 

Menerusi program ini, Gardenia KL mengagihkan lebih 500,000 produk Gardenia kepada lebih 90,000 penerima yang terdiri daripada petugas barisan hadapan perubatan di 500 pusat pemvaksinan di seluruh Semenanjung Malaysia, petugas barisan hadapan ekonomi seperti penghantar makanan dan barangan serta isi rumah B40.

 

Bantuan juga diberikan kepada pelajar universiti yang bergantung kepada program Program Food Bank Siswa di universiti mereka.

 

Dalam usaha memaksimum capaian bantuan yang dihulurkan, Gardenia KL telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan komuniti seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pertubuhan Kebajikan Oasis Harapan, Pertubuhan Sukarelawan Kita Kawan, dan Absolute Malaysia (AMAL).

 

Usaha JKM ini menyaksikan kerjasama antara kakitangan JKM dengan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

 

Gardenia KL ditubuhkan pada 1986 dan kini merupakan pengilang roti yang terulung di Asia Tenggara. Selepas bertapak lebih 35 tahun, Gardenia mengendalikan operasi bakeri di Malaysia dan mengeluarkan 54 jenis produktermasuk pelbagai jenis roti, ban, kek, wafel, produk lain seperti sapuan dan mi kuning.

 

Setiap hari, Gardenia menghantar roti segar percuma kepada lebih 80 pertubuhan kebajikan seperti rumah orang tua, rumah anak yatim, pusat dan sekolah untuk pelajar pendidikan khas, lapan daripadanya termasuk dalam senarai penghantaran produk percuma Gardenia sejak 1991. – DagangNews.com