GE Vernova mula didagangkan sebagai syarikat bebas di pasaran saham AS | DagangNews Skip to main content

GE Vernova mula didagangkan sebagai syarikat bebas di pasaran saham AS

Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 5 April - Syarikat tenaga Amerika Syarikat (AS), GE Vernova yang menyediakan sehingga 40% daripada keperluan elektrik di negara ini melengkapkan terbitannya atau spin-off daripada General Electric Company (GE).

 

GE Vernova memulakan dagangan sebagai syarikat bebas di Bursa Saham New York (NYSE) berkuat kuasa 4 April.di bawah simbol ticker GEV.

 

Ketua Pegawai Eksekutif GE, Vernova Scott Strazik berkata, GE Vernova telah menjadi sebuah syarikat bebas yang menumpukan kepada mempercepatkan peralihan tenaga untuk mencipta masa depan yang lebih mampan.

 

"Segmen kuasa, angin dan elektrifikasi kami menyediakan produk dan perkhidmatan penting kepada industri kuasa elektrik sambil kami berusaha untuk memenuhi permintaan kuasa yang semakin meningkat bagi ekonomi dan menyampaikan tenaga elektrik yang penting untuk kesihatan, keselamatan dan kualiti hidup yang lebih baik.

 

"GE Vernova dibina khusus untuk membekalkan tenaga dan menyahkarbonisasi dunia dan saya amat berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh pasukan kami dengan pencapaian ini dan teruja untuk meneruskan perjalanan ini bersama pelanggan dan pemegang saham kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ge verno

 

GE Vernova yang menyediakan sehingga 40 peratus keperluan elektrik Malaysia dengan kapasiti penjanaan kuasa terpasang kira-kira 34 gigawatt (GW), dan berada pada kedudukan yang baik untuk membantu memacu peralihan Malaysia kepada tenaga yang lebih bersih pada masa depan.

 

"Dengan pangkalan turbin gas terpasang terbesar di Malaysia dan perkongsian lama yang kukuh dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB), ia telah berkembang bersama keperluan pembangunan kuasa negara," ujarnya.

 

Teknologi H-Class GE Vernova telah dipasang di Loji Janakuasa Sultan Ibrahim baharu di Pasir Gudang, Johor yang bukan sahaja salah satu loji paling cekap dan mampan di rantau ini dengan kemampuan mampu membakar sehingga 50% campuran hidrogen, tetapi telah juga menjana kira-kira 2,500 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

 

GE Vernova mempunyai lebih 80,000 pekerja di lebih 100 negara..- DagangNews.com