GEG: Dari segi simbolik nampak mulia tetapi banyak kelemahan | DagangNews Skip to main content

GEG: Dari segi simbolik nampak mulia tetapi banyak kelemahan

oleh FLK

PADA April 2023, Menteri Kesihatan mengumumkan bahawa kementeriannya telah menamakan semula Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok, atau Rang Undang-undang Penamat Generasi Rokok (GEG) kepada Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 dan komited untuk membentangkannya di Dewan Rakyat, mungkin pada Jun 2023.

 

Bunyi macam sama tapi berbeza dengan hanya tajuk yang ditukar.

 

Hakikatnya, cadangan GEG adalah kontroversi dan rang undang-undang itu secara keseluruhannya juga telah menerima banyak maklum balas negatif daripada Ahli Parlimen dengan beberapa daripada mereka meminta supaya beberapa peruntukan dikaji semula. Pertukaran tajuk semata-mata tidak akan berfungsi untuk mengekang realiti negatif yang menyelubungi Rang Undang-undang.

 

PM10 juga berkata adalah terlalu drastik untuk mengharamkan produk tersebut dan meminta Menteri Kesihatan berbincang dengan Ahli Parlimen untuk menyemak semula cadangan tersebut bagi tujuan membentangkan Rang Undang-undang pada Mei/Jun 2023.

 

Malangnya bagi orang ramai, seperti menteri sebelumnya, Menteri sekarang tidak mengumumkan atau mendedahkan kepada umum mengenai mekanisme pelaksanaan dan penguatkuasaan GEG atau sama ada terdapat perundingan dan perbincangan yang mencukupi dengan Ahli Parlimen, orang ramai, perniagaan, dan NGO.


 

parafrasa

 


Sama ada PSSC sebelum ini membuat semakan dan bersetuju atau meminda pelaksanaan dan mekanisme penguatkuasaan juga tidak dimaklumkan secara terbuka.

 

Apa yang pasti akan ada cadangan untuk melarang sesiapa yang dilahirkan selepas satu tahun tertentu daripada menghisap rokok dan vape dalam Rang Undang-undang.

 

Dalam mendesak agar Rang Undang-undang GEG diluluskan oleh Menteri Kesihatan semasa, sebagai Menteri kali pertama, harus mengambil iktibar dan memahami bahawa untuk GEG menjadi pendekatan dasar awam yang berkesan, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang mesti disebarkan kepada orang ramai, kepada pertubuhan perniagaan, dan kepada vendor masing-masing. Bersikap telus tentang rancangan dan cara dasar itu hendak dilaksanakan.

 

Tanpa mekanisme pelaksanaan dan penguatkuasaan yang kukuh, dasar itu hanya mewakili kenyataan simbolik di atas kertas tentang hasrat kerajaan untuk mengawal merokok yang bergantung kepada muhibah rakyat untuk berjaya.

 

Kegagalan untuk menangani infrastruktur dan sumber yang ada - terutamanya kekangan - boleh mengakibatkan kelewatan dalam menguatkuasakan undang-undang dan menyebabkan kekeliruan pada bahagian perniagaan dan pihak yang terjejas oleh perundangan ini.

 

Jangan ambil mudah kemungkinan berlakunya kekurangan

Sumber, jika tidak mencukupi dan tidak ditangani serta diakui daripada awal boleh menyebabkan pegawai penguat kuasa tidak mengambil sebarang inisiatif proaktif untuk menguatkuasakan GEG yang telah disemak, sebaliknya bergantung kepada sistem yang secara eksklusif didorong oleh aduan semata-mata.


 

parafrasa

 


Seperti larangan merokok di kedai makan yang dikuatkuasakan pada 1 Jan 2019, menurut tinjauan Berita Harian pada 2020, penguatkuasaan ketat hanya dilakukan pada awal pelaksanaan dasar tetapi tidak lama kemudian mengendur selepas suku pertama.

 

Dan bagaimana dasar GEG ini akan berkesan sama sekali jika penguatkuasaan tidak dapat konsisten dalam menghentikan orang ramai daripada merokok di kedai makan? Halangan serentak sedemikian dalam penguatkuasaan kemudiannya boleh menjadikan dasar itu lebih kepada pernyataan simbolik niat untuk mengawal merokok.

 

Satu kajian bertajuk “Malaysia Tanpa Rokok” pada Julai 2022 yang dijalankan Datametrics Research and Information Research Centre (DARE) mendedahkan bahawa 83% rakyat Malaysia berpendapat penyeludupan rokok akan meningkat dengan pesat dengan larangan penjualan rokok kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.

 

Kajian itu juga menganggarkan bahawa rang undang-undang GEG jika digubal, dijangka menyaksikan peningkatan penyeludupan rokok daripada 58.4% pada Mac 2022 kepada 61.7%, atau RM8.7 bilion.

 

Sekarang ini pun, kerajaan berada dalam pertempuran berterusan memerangi penyeludupan rokok, menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai berbilion-bilion setiap tahun.

 

Langkah memperkenalkan GEG berkemungkinan besar akan meningkatkan daya tarikan terhadap produk haram ini, menyemarakkan lagi perdagangan haram dengan sindiket mendapat manfaat paling banyak kerana aktiviti penyeludupan diguna bagi membiayai aktiviti jenayah.

 

Justeru, bagi memastikan kejayaan maksimum perundangan ini, input diperlukan daripada Kementerian Kewangan bagi memastikan kerjasama dan penguatkuasaan yang ketat oleh Jabatan Kastam bagi mengekang rokok seludup daripada dibawa masuk.


 

parafrasa

 


Tiada gunanya menggubal undang-undang sementara pintu belakang dibiarkan terbuka untuk rokok seludup dibawa masuk dan dijual kepada anak muda itu secara haram.

 

Jangan biarkan rang undang-undang GEG menyorok kegagalan kerajaan membendung rokok seludup daripada membanjiri negara yang semakin berlarutan sejak beberapa dekad lalu.

 

Semuanya berbalik kepada mekanisme pelaksanaan penguatkuasaan.

 

Sekiranya terdapat kelemahan dalam mekanisme tersebut, sebarang dasar hanyalah simbolik tetapi cacat.

 

Perundangan tersebut, tidak kira betapa pentingnya, akan gagal menangani isu yang dimaksudkan sementara negara terus melihat orang ramai menggunakan produk tidak terkawal dan kehilangan hasil yang besar daripada cukai.


 

parafrasa

 


Adalah bijak untuk Kementerian Kesihatan mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan menentukan sasarannya dengan jelas daripada menolak sasaran yang mungkin kelihatan bagus di atas kertas tetapi tidak praktikal.

 

Sesuatu Rang Undang-undang mestilah bukan sahaja kelihatan cantik di atas kertas tetapi perlu direka bentuk dengan pelaksanaan yang mantap untuk mendapatkan hasil yang diinginkan. - DagangNews.com