Generali Malaysia tawar pengalaman insurans bersepadu menerusi pembukaan cawangan baharu di Melaka | DagangNews Skip to main content

Generali Malaysia tawar pengalaman insurans bersepadu menerusi pembukaan cawangan baharu di Melaka

Pembukaan Generali Malaysia cawangan Melaka sebagai pusat sehenti yang menawarkan rangkaian rumusan insurans am dan hayat yang komprehensif, semuanya di bawah satu bumbung.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Generali Malaysia mengumumkan pelancaran cawangan di Melaka sebagai pusat sehenti yang menawarkan rangkaian rumusan insurans am dan hayat yang komprehensif, semuanya di bawah satu bumbung.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Bhd, Fabrice Benard berkata, Melaka merupakan sebuah bandar raya yang dipenuhi dengan warisan budaya yang meriah. 

 

Katanya, selama bertahun-tahun, bandar raya tersebut berubah menjadi hab perniagaan yang berkembang maju dengan pertumbuhan ekonomi luar biasa.

 

"Kami percaya cawangan Melaka kami mampu berkembang maju bukan sahaja sebagai sebuah tempat yang menyediakan perkhidmatan insurans sehenti, tetapi juga sebagai sebuah pusat pemprosesan utama, memacu transformasi dan menyumbang dalam pertumbuhan KDNK serta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. 

 

"Cawangan ini merupakan lensa yang membolehkan kami memerhatikan perniagaan dan hubungan kami dengan komuniti sekitar, sebagai sebahagian daripada strategi Rakan Sepanjang Hayat kami," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Fabrice berkata, Generali mendukung satu visi yang teguh untuk menjadi syarikat insurans yang terkemuka dan menjadi pilihan di Malaysia. 

 

 

generali
(Dari kiri) Ketua Pegawai Kewangan Generali Insurance Malaysia, Michelle Dan; Ketua Pegawai Eksekutif Generali Life Insurance Malaysia Bhd, Rebecca Tan, Fabrice Benard dan Ketua Pegawai Pengedaran Generali Insurance Malaysia, Jeremy Yeap memotong reben sebagai simbolik perasmian Generali Malaysia cawangan Melaka, baru-baru ini.

 

 

"Kami percaya insurans merupakan salah satu perkhidmatan yang masih mengekalkan sentuhan mesra manusia. Kami mahu berada lebih dekat dengan kakitangan, pelanggan dan rakan kongsi kami untuk berhubung, melindungi serta memupuk hubungan yang berpanjangan dengan mereka," katanya.

 

Cawangan Melaka yang baharu itu menempatkan ruang khidmat pelanggan di tingkat bawah dengan beberapa buah bilik yang berfungsi sebagai tempat perbincangan peribadi, bilik latihan dan ruang pejabat mengisi ruang seluas empat tingkat. 

 

 

generali

 

 

Pelanggan dan rakan kongsi dialu-alukan mengunjungi cawangan terbabit tanpa janji temu bagi mendapatkan perkhidmatan di kaunter, ataupun bertemu dengan pegawai perkhidmatan.

 

Generali telah mereka bentuk semula cawangannya bagi menyediakan pengalaman yang tertumpu pada pelanggan melalui rundingan dan rumusan fizikal dan digital.

 

 

generali

 

Ruang pelbagai fungsi tersebut memaparkan elemen-elemen fungsi, keterangkuman dan teknologi, yang menyerlahkan komitmen berterusan Generali ke arah kelestarian dan inovasi.

 

Cawangan Generali Melaka kini dibuka dan sedia untuk memberikan perkhidmatan dari Isnin hingga Jumaat 8.45 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum). Sebarang maklumat lanjut, sila layari lokasi cawangan di laman web rasmi https://www.generali.com.my/contact-us. - DagangNews.com