Generasi baharu Malaysia-Indonesia perlu tekankan nilai kemanusiaan, elak berbalah hal kecil | DagangNews Skip to main content

Generasi baharu Malaysia-Indonesia perlu tekankan nilai kemanusiaan, elak berbalah hal kecil

Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di Jakarta dan sahabat-sahabat Indonesia dalam Program Temu Anwar Jakarta pada 5 September 2023.
Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA 6 Sept - Kesatuan hidup berbudaya, semangat kecintaan, kematangan dan kedewasaan harus menjadi naratif bagi generasi baharu Malaysia dan Indonesia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata generasi baharu kedua-dua negara perlu bijak mencari titik persamaan dan menghindari perbezaan.

 

Bagaimanapun Anwar berkata perbezaan merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun perlu ditangani dengan baik agar ia tidak sampai ke suatu tahap yang boleh menyebabkan perpecahan antara masyarakat kedua-dua negara.

 

“Harus ada kematangan dan kedewasaan, kerana ia akan memberi faedah besar kepada Malaysia dan Indonesia,” katanya pada Program Temu Anwar di sini malam tadi, Bernama melaporkan.

 

Anwar berkata masyarakat di kedua-dua negara secara umumnya tiada masalah, sehingga sesuatu konflik timbul daripada ahli politik picisan yang tidak berfikir panjang.

 

“Hal-hal kecil diperbesarkan untuk meraih sokongan, sedangkan masyarakat di rantau ini memiliki sejarah yang sama tetapi terpisah disebabkan penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris.

 

“Jadi mengapa kita ambil sikap rendah akal budi dan memadamkan sejarah semata-mata untuk kepentingan kecil,” katanya.

 

Anwar mengimbau beberapa peristiwa seperti persengketaan lagu `Rasa Sayang', meskipun ia berasal dari rantau Melayu, begitu juga dengan batik yang memiliki keindahan dan kelainan.

 

“Justeru kalau ada minat untuk membincangkan soal persatuan hidup berbudaya, soal nilai itu penting iaitu kemanusiaan, kasih sayang, ihsan dan rahmah. Tetapi itulah nilai-nilai kemanusiaan yang kita tinggalkan,” katanya.

 

Menyentuh isu Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di Malaysia, sebagai Perdana Menteri, beliau mengakui wujud kelemahan di beberapa kes yang mana TKI didera tetapi tindakan tegas diambil.

 

“Tetapi janganlah ini dianggap mewakili semua orang di Malaysia,” katanya sambil menambah, kes yang berlaku sama ada melibatkan warga Malaysia atau Indonesia, harus melalui proses undang-undang.

 

Anwar turut menyokong hasrat pempengaruh Indonesia yang mencadangkan agar diadakan program sports entertainment dengan pempengaruh Malaysia.

 

“Saya dukung hasrat ini dan saya fikir harus jadi naratif baharu generasi baharu Malaysia-Indonesia,” katanya.

 

Temu Anwar merupakan program dialog anak muda bersama Perdana Menteri yang julung kali diadakan di luar negara. Program berkenaan diadakan sempena rangka lawatan beliau ke Jakarta bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 yang berlangsung di Jakarta dari Selasa hingga Khamis ini (7 Sept). - DagangNews.com