Generasi muda disaran melabur dalam pasaran modal – SC | DagangNews Skip to main content

Generasi muda disaran melabur dalam pasaran modal – SC

Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin (berdiri, dua dari kiri) di majlis perasmian kohort pertama Program Kepimpinan investED di Kuala Lumpur, hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Malaysia memerlukan lebih ramai generasi muda untuk melabur dalam pasaran modal agar ia kekal bertenaga, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

 

Beliau berkata dalam industri broker saham misalnya, kebanyakan remisier berumur 50 tahun ke atas.

 

Menurut beliau, setakat ini pelabur berusia bawah 45 tahun hanya menyumbang 7% daripada jumlah pelabur di pasaran modal, manakala mereka yang berumur 20 hingga 30 tahun mungkin lebih rendah.

 

“Industri pasaran modal memerlukan suntikan kelompok baharu seperti generasi muda, sama ada sebagai pekerja mahupun pelabur.

 

“Kita memerlukan eksekutif muda untuk menarik pelabur muda memandangkan mereka lebih pintar dari segi teknologi dan saling memahami,” kata Awang Adek dalam ucapan perasmian kohort pertama Program Kepimpinan investED.

 

 

Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin
Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin

 

 

Program siswazah pasaran modal yang julung kali diadakan itu merangkumi  modul  pembelajaran komprehensif dan interaktif selama sebulan, disusuli latihan sambil bekerja bagi tempoh enam bulan dengan rakan kongsi investED daripada industri  pasaran modal.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, SC berkata kohort pertama program yang diterajuinya itu mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 2,000 permohonan, namun hanya 200 graduan baharu terpilih untuk menjalani modul pembelajaran tersebut di Asia School of Business (ASB). 

 

Awang Adek Hussin  berkata investED merupakan jalinan strategik pertama antara SC, Kementerian  Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), industri pasaran modal dan  universiti, bertujuan untuk membangunkan bakat mampan dalam pasaran  modal. 

 

“Kerjasama SC dengan ASB hari ini memperkukuhkan lagi kredibiliti program dan komitmen agar peserta dilengkapi ilmu pengetahuan industri pasaran modal yang diperlukan,” katanya.

 

 

investED

 

 

Sehingga kini, terdapat lebih daripada 200 latihan sambil bekerja yang ditawarkan  oleh lebih 50 rakan kongsi investED yang terdiri daripada bank pelaburan, firma  broker saham, syarikat pengurusan dana, platform pendanaan ramai ekuiti,  pengendali rakan sebaya, syarikat modal teroka dan syarikat ekuiti swasta. 

 

Mengulas mengenai perkara ini, Awang Adek berkata syarikat rakan kongsi telah menunjukkan sokongan menggalakkan bagi pertumbuhan kumpulan bakat pasaran modal melalui penempatan pekerjaan yang  ditawarkan mereka. 

 

"Pendedahan daripada program ini akan memberi kelebihan kepada graduan untuk  mendapat pekerjaan setelah tamat kursus, tertakluk kepada prestasi mereka ketika program latihan,” tambahnya.

 

Maklumat lanjut tentang investED boleh dilayari di https://www.invested.my/ - DagangNews.com