Generasi muda tidak minat membaca, cetus kelesuan pembelajaran | DagangNews Skip to main content

Generasi muda tidak minat membaca, cetus kelesuan pembelajaran

Oleh Norazlinda Mohammad

Semakin aku banyak membaca, semakin aku banyak berfikir; semakin aku banyak belajar, semakin aku sedar bahawa aku tak mengetahui apa pun. - Voltaire

 

 

BUDAYA membaca dalam kalangan rakyat Malaysia baik tua mahu pun muda, sangat merunsingkan kerana ia semakin pudar dan hampir lenyap.

 

Mereka kini yang lebih menggemari dengan teknologi gajet, media baharu, permainan video, aplikasi jaringan sosial melalui telefon pintar dan aktif di dalam halaman media sosial seperti Facebook, Instagram, Tweeter, YouTube, ChatGPT, TikTok dan sebagainya. 

 

Menurut satu kajian, seorang rakyat Malaysia hanya membaca 15 buah buku setahun dan hanya memperuntukkan kurang tiga jam seminggu untuk aktiviti membaca.  Ini jelas berbeza dengan negara-negara maju di mana rakyatnya membaca hampir 40 naskhah buku dalam setahun. 

 

Muda-mudi sekarang pula lebih cenderung melayari Internet, membaca gosip melalui laman web yang tidak menguntungkan berbanding membaca buku, akhbar atau majalah ilmiah.

 

Sedangkan sudah terang lagi bersuluh bahawa faedah yang diterima dengan membaca boleh meluaskan perbendaharaan kata, memberi motivasi dan nilai tambahan kepada seseorang individu.    

 

Fenomena kurangnya membaca dalam kalangan generasi milenial ini sangat menyedihkan dan boleh membawa kepada kelesuan di dalam pembelajaran di peringkat sekolah dan universiti.


 

parafrasa

 


Pepatah Melayu ada mengatakan, membaca itu jambatan ilmu, dengan erti kata lain amalan membaca amat penting dan tiada ruginya kerana ia membantu menambah ilmu pengetahuan. 

 

Malah ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai wahyu pertama ialah Iqra’ kepada Rasulullah SAW yang bermaksud bacalah.  Peristiwa bersejarah ini secara tidak langsung memberi maksud mengenai kepentingan tuntutan membaca dan menuntut ilmu dalam kalangan manusia bagi membina peradaban manusia dan bangsa yang arif dan cemerlang.

 

Selaras dengan itu, Kementerian Pendidikan Negara telah menyasarkan harapan, menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030 bagi melahirkan generasi berilmu.

 

Namun begitu,  dianggarkan, sebanyak 80% mahasiswa universiti tidak suka membaca. Jika membaca pun hanya untuk lulus peperiksaan dan ini kita boleh lihat senario atau keadaan di perpustakaan yang hening sunyi dan hanya penuh hingar bingar ketika menjelang peperiksaan. 

 

Persoalannya, adakah pelajar diasuh hanya untuk mendapat A di dalam mata pelajaran?

 

Selain itu, budaya tunduk atau taksub kepada gajet telefon pintar atau tablet menular di mana-mana sahaja dan sudah menjadi kebiasaan melihat orang terpaku pada telefon pintar di suatu sudut; membaca apa sahaja daripada portal berita, blog, menyusuri laman web gosip murahan yang boleh didapati di media sosial serta alpa bermain permainan video yang disajikan di dalam aplikasi telefon. 

 

Natijahnya, betapa teknologi mengubah corak hidup manusia di abad ke-21.  Budaya malas membaca generasi muda bukan sahaja perlu diubah malah kelemahan ini perlu dikaji penyelesaiannya sebelum ia menjadi parah.


 

parafrasa

 


Kurangnya membaca akibatkan pelajar lesu di dalam pembelajaran

Dewasa ini, sikap malas membaca dipelopori oleh generasi muda dan ini kita dapat lihat akhbar tidak lagi menjadi tarikan dan tidak terjual.

 

Penguasaan ilmu pengetahuan di kalangan pelajar mahasiswa berada di paras minimum.  Ini menyukarkan pendidik di dalam subjek KBAT (kemahiran pemikiran aras tinggi) atau isu semasa yang memerlukan pelajar berilmu pengetahuan dan berfikiran kritis di dalam menjawab soalan di dalam kelas atau peperiksaan. 

 

Malang sekali, pelajar kini tidak peka dengan isu di dalam atau di luar negara. Mereka juga malas berfikir dan jarang mengeluarkan hujah atau pendapat yang bernas.

 

Hakikatnya, mahasiswa di institusi pengajian tinggi lebih suka mendengar dan diberi suapan oleh pensyarah dengan nota yang tersedia malah tidak bijak di dalam memberi pandangan atau kritikan mengenai isu yang berlaku di sekeliling mereka jika ditanya di dalam kuliah. 

 

Realiti ini sangat menyedihkan kerana generasi Y dan Z dianggap pelapis tenaga sumber manusia yang seharusnya aktif dan berjiwa dinamik membantu, menggembleng buah fikiran dan tenaga di dalam sektor politik, ekonomi, sosial, pendidikan, teknologi dan perniagaan. 

 

Kurangnya motivasi atau dorongan membaca, pengaruh persekitaran, rakan sebaya dan hiburan yang tidak terkawal memberi implikasi kepada budaya kurang membaca. 

 

Revolusi teknologi digital IR 4.0, tarikan media baru yang pelbagai, hiburan yang boleh dipindah turun, penstriman rancangan, video atas talian mewujudkan lagi jurang dan mereka tidak gemar memegang senaskhah buku, majalah ilmiah atau akhbar. 


 

parafrasa

 


Generasi muda seharusnya peka dan sedar bahawa membaca akan membawa gerbang yang luas bagi meraih pelbagai ilmu pengetahuan. 

 

Penerapan budaya membaca yang tidak dititikberatkan oleh ibu-bapa sejak di bangku sekolah merupakan salah satu punca kepada pelajar tidak suka membaca. 

 

Apakah ada penyelesaian?

Guru dan pendidik perlu memainkan peranan bersungguh-sungguh demi memperkasa budaya membaca sejak di bangku sekolah.  Perbanyakan program literasi maklumat sejak di sekolah oleh guru dan institusi pengajian tinggi bagi memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi amalan seharian. 

 

Ini bagi membantu mengasah pemikiran pelajar agar kritis dan kreatif di dalam membuat tugasan yang diamanahkan di peringkat sekolah dan universiti.

 

Program NILAM, (nadi ilmu amalan membaca) kem membaca seharusnya diteruskan, dipergiatkan secara serius dan konsisten bukan sahaja di peringkat sekolah rendah dan menengah tetapi juga di peringkat komuniti oleh pusat sumber sekolah bagi menyemai budaya membaca dan dijadikan amalan masyarakat agar mentaliti dan ilmu pengetahuan bercambah, berkembang maju seiring dengan negara-negara yang pesat membangun. 


 

parafrasa

 


Sememangnya kita generasi dahulu yang terdidik melalui saluran maklumat konvensional berpendapat tiada rasa yang lebih baik daripada memegang dan membelek kertas dan buku daripada tablet atau komputer riba.

 

Perpustakaan sekolah dan universiti hendaklah sama-sama mengambil bahagian bukan sahaja memperjuangkan budaya membaca malah menarik minat membaca dengan mewujudkan program meminjam dua buku dalam masa seminggu bagi menyalakan aktiviti pembacaan serta memastikan buku di dalam rak perpustakaan bukan sekadar hiasan sahaja.

 

Ibu bapa juga disarankan meluangkan masa membawa anak-anak mereka ke perpustakaan dan pameran buku tahunan.  Ini bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenali buku, memberi suntikan semangat dan minat mereka untuk membaca. 

 

Tidak terkecuali, ibu-bapa seharusnya memainkan peranan penting memberi contoh atau teladan yang baik dengan menjadikan budaya membaca sebagai hobi pada setiap masa walau di mana sahaja.

 

Langkah yang terbaik ialah dengan mewujudkan mini perpustakaan atau ruang santai membaca buat anak-anak mereka.  Ini bagi membantu menyemarakkan dan menyuburkan budaya membaca secara praktikal. 

 

Di negara barat, buku yang dianggap sebagai khazanah ilmu  merupakan teman baik mereka walau di mana jua mereka berada dan perpustakaan merupakan rumah kedua bagi menambah inspirasi dan menimba pelbagai ilmu pengetahuan.

 

Generasi baru yang membaca dan celik ilmu pemangkin kepada Negara Maju

Bukan mudah menarik pelajar minat membaca bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya kerana ia perlu dididik seawal kecil dengan memupuk tabiat membaca. 


 

parafrasa

 


Justeru, ia memerlukan semua pihak baik ibu bapa, guru sekolah dan pendidik di universiti agar sentiasa memberi dorongan, sokongan dan nasihat bagi menggalakkan generasi muda agar minat membaca.

 

Pembudayaan membaca perlu ditekankan bagi memastikan pelajar sentiasa cakna, terbuka minda, cergas dan bersedia di dalam kuliah kerana jika ia tidak dibendung akan melahirkan generasi atau pelapis yang lemah umpama katak di bawah tempurung, lalai di dalam pemikiran serta mudah dijajah oleh anasir-anasir negatif luar yang membawa kepada kepincangan peribadi, akhlak dan sosial.

 

Tuntasnya, kemahiran ilmu pengetahuan dan pengalaman melalui pembacaan secara rutin dapat dijadikan asas kepada pembentukan modal insan dan melahirkan generasi baru yang berkaliber, mempunyai pendirian, jati diri serta mampu meneroka di dalam pelbagai bidang bagi membentuk negara, nusa dan bangsa yang cemerlang serta membangun berteraskan konsep Malaysia MADANI. – DagangNews.com

 

Norazlinda Hj Mohammad adalah Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi & Media KPPIM, UiTM Cawangan Melaka