Genetec mampu berkembang dalam EV, penganalisis kekal saranan 'tambah' | DagangNews Skip to main content

Genetec mampu berkembang dalam EV, penganalisis kekal saranan 'tambah'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Genetec Technology Bhd. berada dalam kedudukan kukuh untuk merebut peluang dalam segmen kenderaan elektrik (EV) yang semakin berkembang di seluruh dunia. 

 

Ini membolehkan CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Genetec dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM55 berbanding RM50 sebelum itu.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 September 2021, untung bersih Genetec melonjak lebih 6 kali ganda bagi tahun ke tahun kepada RM16.31 juta daripada RM2.64 juta disebabkan terutamanya jumlah jualan yang lebih tinggi dan kecekapan operasi lebih baik.

 

Malah, pendapatan bagi suku itu juga meningkat kepada RM59.31 juta berbanding RM38.67 juta sebelumnya. Perolehan sesaham (EPS) turut melonjak kepada 32.25 sen daripada 6.18 sen. 

 

"Kami teruja apabila mengetahui tambahan pesanan kumpulan semakin meningkat berjumlah RM203.4 juta setakat hari ini, yang mana 88% adalah segmen berkaitan EV, penyimpanan tenaga dan e-mobiliti.

 

"Kumpulan menjangkakan untuk memenuhi sebahagian besar pesanan ini pada separuh kedua tahun kewangan 2022.

 

"Oleh itu, secara keseluruhan, kami menaikkan unjuran EPS bagi tahun kewangan 2022-2024 sebanyak 8 hingga 11% dengan mengambil kira tambahan pesanan yang lebih tinggi daripada segmen tersebut," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Untung bersih Genetec naik lebih enam kali ganda kepada RM16.31 juta

 

CGS-CIMB yang menyertai taklimat laporan kewangan Genetec bagi suku kedua itu semalam turut mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 246% bagi 3 tahun EPS (bagi tempoh tahun kewangan 2020-2023). 

 

Antara faktor yang mendorong kepada prestasi lebh baik ini termasuklah lebih banyak pesanan diterima dalam ruang EV, perolehan kontrak daripada pelanggan automotif sedia ada dan skala ekonomi yang lebih tinggi.

 

"Selain itu, Genetec juga mencadangkan terbitan bonus 1-untuk-12 bagi meningkatkan kecairan saham. Dengan mengandaikan Genetec mendapat kelulusan kawal selia, langkah ini sepatutnya lengkap sebelum suku keempat tahun kewangan 2022," tambahnya.

 

Setakat 9.23 pagi ini, saham Genetec bagaimanapun susut 30 sen atau 0.64% kepada RM46.40 dengan 101,700 saham diniagakan. - DagangNews.com