Genting kembali catat untung bersih RM98 juta pada 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Genting kembali catat untung bersih RM98 juta pada 1QFY23

KUALA LUMPUR 26 Mei - Genting Berhad telah mencatatkan keuntungan bersih RM98 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding kerugian bersih RM199.68 juta setahun sebelumnya.

 

Keuntungan tersebut telah didorong oleh sumbangan bahagian riadah dan hospitaliti berikutan pemulihan berterusan dalam perjalanan serantau dan permintaan permainan selepas sekatan COVID-19 dilonggarkan.

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) melonjak 41% kepada RM1.83 bilion daripada RM1.3 bilion setahun lalu, manakala hasil suku tahunan meningkat 38.2% kepada RM5.82 bilion daripada RM4.21 bilion.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu melaporkan segmen riadah dan hospitaliti mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih baik sebanyak RM1.6 bilion pada 1QFY23, melonjak 68% daripada RM955 juta setahun sebelumnya.

 

Sementara itu, hasil kumpulan meningkat 43% kepada RM4.78 bilion daripada RM3.33 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

 

Perniagaan riadah dan hospitaliti di Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat dan Bahamas menyaksikan peningkatan dalam aktiviti perniagaan, kecuali United Kingdom dan Mesir yang terjejas oleh tekanan inflasi, ditambah dengan perbelanjaan gaji dan operasi lebih tinggi.

 

Sementara itu, Genting berkata hasil bahagian perladangan bagi suku semasa meningkat berbanding tahun lepas disebabkan volum jualan lebih tinggi daripada segmen pembuatan hiliran, sebahagiannya diimbangi oleh harga produk sawit yang lebih lemah.

 

Bagaimanapun, EBITDA diselaraskan bagi bahagian itu adalah lebih rendah terutamanya disebabkan oleh harga produk sawit yang lebih lemah.

 

Ia juga berkata hasil dan EBITDA diselaraskan dalam bahagian tenaga bertambah baik pada suku semasa berikutan penjanaan lebih tinggi daripada loji tenaga Banten di Indonesia berikutan tempoh gangguan yang lebih singkat.

 

Bahagian minyak dan gas pula merekodkan hasil dan EBITDA diselaraskan lebih rendah terutamanya disebabkan oleh kelemahan harga minyak mentah global pada suku semasa, katanya.

 

Mengenai prospek, Genting berkata persekitaran ekonomi global dijangka bertambah baik secara beransur-ansur namun risiko penurunan terus mendominasi di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan dan kebimbangan mengenai kesan daripada keputusan dasar monetari.

 

Walaupun pengembangan ekonomi Malaysia dijangka menjadi sederhana sejajar dengan ekonomi global perlahan, kumpulan itu berkata pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negara. -DagangNews.com