Genting Malaysia dijangka raih RM4.29 bilion daripada pelupusan empat tanah di Miami | DagangNews Skip to main content

Genting Malaysia dijangka raih RM4.29 bilion daripada pelupusan empat tanah di Miami

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - Genting Malaysia Berhad (GenM) dijangka meraih AS$967 juta (RM4.29 bilion) daripada pelupusan empat bidang tanah di Miami seluas 6.2 hektar (tanah Miami Herald) dengan harga AS$1.23 bilion.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia,  GenM berkata, unitnya Resorts World Miami LLC telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Smart Miami City LLC.

 

Kumpulan itu berkata, pelupusan tanah Miami Herald kepada pembeli atas dasar "seadanya" dan dengan pemilikan tertakluk kepada terma dan syarat SPA.

 

GenM berkata, tanah Miami Herald terletak berhampiran dengan kawasan komersial, kediaman dan membeli-belah di Miami, Florida, dan terletak di seberang jalan dari Pusat Seni Persembahan Adrienne Arsht di Miami-Dade County, salah satu pusat seni persembahan terbesar di Amerika Syarikat (AS).

 

Tanah Miami Herald bersempadan dengan sambungan yang meluas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Brickell (pusat kewangan utama Florida Selatan), South Beach (salah satu destinasi pantai utama di dunia) serta kawasan panas yang muncul seperti Edgewater, Wynwood Art District and the Design District (destinasi membeli-belah mewah di Florida Selatan).

 

Katanya, hasil tunai yang akan dijana daripada cadangan pelupusan itu bertujuan untuk digunakan bagi tujuan korporat dan pelaburan am, termasuk pembiayaan pelaburan masa depan.

 

Mengenai rasional penjualan itu, GenM berkata pasaran hartanah Miami berkembang pesat sejak pengambilalihan tanah Miami Herald pada 2011, dengan Indeks Harga Rumah Miami meningkat hampir tiga kali ganda kepada 398.56 pada 1 Disember 2022.

 

“Oleh itu, cadangan pelupusan itu memberi peluang kepada GenM untuk memanfaatkan pertumbuhan pasaran dan nilai penting dalam aset bukan teras pada harga yang menarik, meningkatkan kedudukan tunai syarikat.

 

“Ini memberikan GenM fleksibiliti kewangan untuk operasi dan pelaburan masa depannya.

 

"Berdasarkan pertimbangan pelupusan sebanyak AS$1.23 bilion (bersamaan dengan kira-kira RM5.43 bilion), GenM menjangkakan untuk merealisasikan anggaran keuntungan daripada penjualan sebanyak AS$967 juta (bersamaan dengan kira-kira RM4.29 bilion),” katanya. - DagangNews.com