Genting Malaysia dijangka rugi RM74 juta tahun ini - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Genting Malaysia dijangka rugi RM74 juta tahun ini - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Genting Malaysia Berhad (GenM) berdepan kerugian bersih sehingga RM74 juta pada tahun kewangan semasa (FY21), berdasarkan unjuran dibuat firma penyelidikan, CGS-CIMB Research. 

 

Bagaimanapun, angka itu lebih rendah daripada unjuran keuntungan bersih yang dibuat sebelum ini, RM275 juta. 

 

“Kami melihat perniagaan Resort World Genting (RWG) akan pulih secara beransur pada tahun 2021, dibantu oleh insentif pelancongan dan pembukaan SkyWorlds, tetapi pulih sepenuhnya hanya pada FY22 berbanding ramalan separuh kedua 2021 (2H21) sebelum ini. 

 

“Kami mengunjurkan keuntungan bersih FY22 dan FY23 melonjak semula kepada masing-masing RM1.2 bilion dan RM1.3 bilion,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Semalam, GenM mengumumkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi suku keempat 2020 (4Q20) menyusut 71.7% tahun ke tahun susulan pelaksanaan semula sekatan rentas negeri dan pergerakan. 

 

Tidak termasuk pengubahsuaian cukai sekali bayar, kerugian bersih kumpulan syarikat itu mencecah RM201 juta, 83.9% lebih besar berbanding suku sebelumnya.

 

CGS-CIMB menyemak turun saranan saham GenM daripada ‘tambah’ kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan sedikit pada kadar RM3.00 sesaham. 

 

Saranan berbeza pula diletakkan ke atas nilai saham Genting Berhad yang menyaksikan penarafan kekal kepada ‘tambah’ dan TP dinaikkan kepada RM7.00 oleh CGS-CIMB. 

 

CGS-CIMB dalam nota kajian berbeza menurunkan unjuran perolehan sesaham (EPS) Genting bagi FY21 selepas mengambil kira semak turun unjuran perolehan GenM. 

 

“Kami menjangkakan keuntungan bersih utama Genting bagi FY21 akan melantun semula kepada RM805 juta (FY20: -RM305 juta) dan meningkatkan sebanyak 99% dan 4% unjuran masing-masing bagi FY22 dan FY23 apabila pandemik COVID-19 reda. 

 

“Oleh itu, kami melihat 15 sen dividen sesaham (DPS) bagi FY21 berubah menjadi 22 sen setiap tahun selepas itu,” tambah CGS-CIMB.

 

Genting menyaksikan keuntungan bersih bagi 4Q20 menyusut 87.0% tahun ke tahun kepada RM63 juta ekoran kerugian yang dicatatkan oleh GenM selain perolehan lebih lemah ditonjolkan oleh Genting Singapore (GenS), bahagian minyak dan gas serta tenaga, tetapi diimbangi oleh keuntungan Genting Plantations Berhad (GenP). - DagangNews.com