Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Genting Plantations Bhd. sentiasa terbuka kepada sebarang cadangan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dari semasa ke semasa, menurut Kenanga Investment Bank Research.
Penganalisisnya, Adrian Kok berkata, memandangkan kumpulan masih mengumpul simpanan kira-kira RM800 juta, langkah tersebut yang dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan semula kawasan perladangan dan pertumbuhan pengeluaran mungkin dapat dicapai.
Katanya, kali terakhir Genting Plantations melaksanakan pengambilalian adalah pada 2017 melibatkan ladang di Kalimantan Selatan dengan nilai perusahaan/kawasan ladang per hektar kira-kira RM65,000.
"Kami berpendapat kumpulan lebih berminat dengan ladang di Kalimantan Selatan di mana ladang-ladang tersebut tertumpu di Indonesia," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu baru-baru ini mengadakan mesyuarat dengan pengurusan Genting Plantations untuk meninjau prestasi syarikat tahun ini.
Di sebalik aktiviti penanaman semula di Malaysia (dianggarkan 4,000 hektar), pengurusan mengekalkan unjuran pertumbuhan pengeluaran sekitar 3 hingga 5% (sejajar dengan unjuran Kenanga sebanyak 5% bagi tahun kewangan 2021).
Pertumbuhan ini dipacu oleh profil pokok di ladang Indonesia dianggarkan antara 9 hingga 10 tahun manakala pengeluaran puncak dijangka sekitar suku keempat 2021 (Oktober-November).
Kenanga Research juga mendapati, masalah kekurangan buruh kekal terurus dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan antaranya mengambil pekerja tempatan dan penanaman ladang yang lebih kecil.
Menurut Adrian, segmen hiliran bagaimanapun kekal mencabar tetapi diimbangi dengan segmen huluan yang kukuh.
"Meskipun harga minyak sawit mentah dilihat akan kekal tinggi berbanding tahun lalu kira-kira RM2,800 per tan metrik, namun didapati lebih banyak risiko penurunan berbanding kenaikan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' ke atas saham Genting Plantations dengan harga sasaran pada RM7.65.
Dari segi penilaian, ia memberi penilaian 10% dan 20% lebih rendah bagi bahagian huluan dan hiliran ekoran kebimbangan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
Setakat 11.50 pagi ini, saham Genting Plantations susut 0.10 sen kepada RM6.55 dengan 14,800 saham diniagakan. - DagangNews.com