KUALA LUMPUR 31 Jan - Bersempeana pembukaan pra-pelancaran Taman Tema Genting SkyWorlds, syarikat itu menawarkan diskaun 20% ke atas harga tiket penuh bagi kunjungan dari 8 Februari sehingga 31 Mac 2022.
Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi, Genting Malaysia Berhad, Lee Thiam Kit berkata, Taman tema Asia Tenggara yang paling dinanti-nantikan itu bakal dibuka pada 8 Februari 2022 dan tiket akan dijual melalui Laman Web Genting SkyWorlds (gentingskyworlds.com) dan Aplikasi Genting SkyWorlds bermula jam 10 pagi pada 4 Februari 2022.
Ujarnya, semasa tempoh pembukaan pra-pelancaran, akses Virtual Queue (VQ) dan Photo+ percuma akan disediakan, di mana para pengunjung boleh memuat turun dan berkongsi kandungan foto digital tanpa had.
"Kami sudah bersedia untuk akhirnya menunjukkan taman tema kami kepada dunia, dengan pembukaan pra-pelancaran kami menjelang 8 Februari 2022 ini.
"Dibina dengan nilai pelaburan melebihi AS$$800 juta, tarikan bertema baharu ini bakal melonjakkan nama Pahang dan Malaysia di persada pelancongan dunia.
"Pembukaan taman tema ini akan turut menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan kewujudan ribuan peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, selepas membeli tiket secara dalam talian, para pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi Taman Tema Genting SkyWorlds yang tersedia dengan percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
Ujarnya, aplikasi berkenaan bukan sahaja akan memberi panduan yang komprehensif dengan maklumat masa nyata (real-time) berkenaan Genting SkyWorlds, malah ia juga membolehkan para pengunjung untuk mengemudi dan melawat taman tersebut secara maya agar mereka dapat merancang aktiviti yang mereka minati terlebih dahulu, serta mencari arah dan jalan untuk ke destinasi mereka.
"Antara ciri-ciri aplikasi ini ialah, masa penungguan akan dipaparkan di aplikasi tersebut dan para pengunjung bolehlah merancang masa mereka untuk permainan, tarikan dan persembahan yang tersedia pada hari itu; menerima tawaran promosi dan baucar diskaun; mendapatkan maklumat tempat-tempat makan, membeli-belah, permainan, serta perkhidmatan Photo+ yang canggih," katanya.
Dengan keluasan 26 ekar di ketinggian 6,000 kaki dari aras laut, Taman Tema Genting SkyWorlds bakal membawa para pengunjung mengembara ke sembilan ‘dunia’ yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia. -DagangNews.com