George Kent, MDEC bekerjasama pacu ekosistem teknologi negara | DagangNews Skip to main content

George Kent, MDEC bekerjasama pacu ekosistem teknologi negara

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - George Kent (Malaysia) Bhd. bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menggalakkan pertumbuhan ekosistem teknologi untuk memacu transformasi ekonomi digital Malaysia. 

 

Ini menyaksikan kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi tempoh 3 tahun bermula 1 Disember 2021. 

 

Pengerusi George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock berkata, kerjasama dengan MDEC adalah sejajar dengan pelan strategik kumpulan untuk melabur dalam pertumbuhan baharu terutamanya ruang digital. 

 

Katanya, cabang pelaburan kumpulan akan berfungsi sebagai platform inovatif untuk mendapatkan akses kepada teknologi baharu dan baru muncul sebagai sebahagian daripada objektif pelaburan untuk mendapatkan faedah strategik kepada pulangan kewangan jangka panjang. 

 

"Saya percaya, kerjasama dengan MDEC adalah gabungan sinergi yang saling menguntungkan kerana kami berkongsi matlamat yang sama untuk menggalakkan dan memudahkan transformasi digital, memupuk bakat dan membangunkan industri teknologi digital," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Menerusi kerjasama ini, George Kent dan MDEC akan mempromosi inisiatif yang akan memanfaatkan dan memacu pertumbuhan dalam ekosistem teknologi.

 

Malah, ia juga mencerminkan kerjasama awam-swasta yang membolehkan kerajaan mempercepatkan pertumbuhan ekosistem teknologi negara di samping membantu perniagaan sektor swasta seperti George Kent untuk mendapat akses kepada peluang pertumbuhan baharu.

 

Di bawah kerjasama ini, George Kent akan menubuhkan cabang pelaburan untuk menyediakan keperluan dana dan sumber termasuk kewangan, kepakaran, bimbingan dan peluang kepada akses pasaran bagi syarikat teknologi tempatan dan serantau.

 

MDEC pula memberi sokongan dari segi penyumberan aliran perjanjian untuk George Kent termasuk memudahkan pengenalan kepada modal teroka dan pelabur bagi peluang pelaburan bersama. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadzir Aziz berkata, Malaysia mengenalpasti kepentingan teknologi digital dan peranannya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu.

 

"George Kent memiliki sumber dan pengalaman yang kami cari bagi inisiatif kerjasama ini untuk memacu pertumbuhan ekosistem teknologi negara.

 

"Dalam hal ini, kami yakin kerjasama ini akan mewujudkan peluang perniagaan baharu dan membangunkan komuniti teknologi digital," katanya. - DagangNews.com