Gerakan boikot Israel dijangka beri manfaat kepada Hup Seng sebagai pengeluar produk tempatan – BIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Gerakan boikot Israel dijangka beri manfaat kepada Hup Seng sebagai pengeluar produk tempatan – BIMB Securities

Gambar FB Hup Seng
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - Hup Seng Industries Berhad dijangka meraih lonjakan permintaan disebabkan peningkatan tumpuan pada produk tempatan yang dirangsang oleh gerakan boikot Israel, yang boleh memberi manfaat kepada HSI sebagai pengeluar tempatan walaupun harga jualannya meningkat.

 

BIMB Securities berkata prospek positif berkenaan disokong lagi oleh komitmen Hup Seng terhadap kecekapan pengurusan kos menerusi inisiatif kelestarian mereka, iaitu dengan mengurangkan kos bahan api, meminimumkan sisa dan pengurangan pelepasan karbon.

 

“Kami menjangkakan jualan disokong peningkatan permintaan dan penambahbaikan kos pengeluaran.

 

“Sementara itu, kami menjangkakan kestabilan margin, dibantu oleh harga komoditi yang beransur-ansur menurun dan jangkaan pengukuhan ringgit,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Mengulas mengenai prestasi kumpulan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), BIMB Securities berkata keuntungan bersih RM31.4 juta, yang meningkat 130.1% tahun ke tahun, adalah melebihi anggaran firma sebanyak RM27.4 juta.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 3Q Hup Seng meningkat tiga kali ganda kepada RM13.02 juta

 

 

Oleh demikian, firma itu menyemak naik unjuran pendapatan FY23 sebanyak 34% kepada RM41.5 juta, mencerminkan pelarasan 5% dalam kos jualan.

 

“Kami menyemak naik unjuran pendapatan FY23-25 kami lebih tinggi kepada RM41.5 juta, RM41.1 juta, RM 42.2 juta selepas meningkatkan andaian pendapatan masing-masing sebanyak 34%, 31% dan 28%,” tambahnya.

 

BIMB Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM1.04 berdasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada 20.3 kali kepada pendapatan sesaham (EPS) FY24 sebanyak 5.1 sen.

 

Setakat pukul 11:36 pagi ini, saham Hup Seng menokok 8 sen atau 11.1% kepada 80 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM640 juta. - DagangNews.com