GHL System mohon tarik status penyenaraian di pasaran saham | DagangNews Skip to main content

GHL System mohon tarik status penyenaraian di pasaran saham

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Julai - GHL Systems Berhad (GHL) mengemukakan permohonan kepada Bursa Malaysia untuk penarikan balik status penyenaraian GHL daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia, menurut perenggan 16.07 (a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, GHL berkata, rujukan telah dibuat kepada Dokumen Tawaran dan pengumuman GHL pada 4 Julai 2024 di mana NTT Data Japan Corporation telah memulakan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat melalui CIMB Investment Bank Berhad untuk memperoleh semua baki saham biasa dalam GHL Systems Berhad yang belum dipegang oleh pemberi tawaran untuk balasan tunai RM1.08 sesaham.

 

Pada jam 1 tengah hari ini, harga saham syarikat itu tidak berubah pada RM1.06 dengan 68,200 saham bertukar tangan.

 

Dalam pemfailan berasingan,  GHL memaklumkan sahamnya akan digantung mulai 9 pagi Rabu, 31 Julai 2024.

 

NTT Data Corp telah membeli 58.73% kepentingan dalam firma perkhidmatan pembayaran GHL Systems Bhd pada harga RM724.08 juta. 

 

Harga pemerolehan RM1.08 sesaham mewakili premium 6.9% kepada harga dagangan terakhir GHL sebanyak RM1.01 pada 27 Mei 2024.

 

Kemudian, pada 4 Julai lalu, GHL mengumumkan pihak NTT Data telah memegang 92.71% saham hasil daripada tawaran tersebut. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Firma Jepun, NTT Data beli 58.73% saham GHL Systems berharga RM724 juta, cetuskan tawaran am

 

Selain daripada pasaran asalnya di Malaysia, GHL juga memiliki perniagaan di Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura dan Australia dengan lebih 480,000 pusat pembayaran di seluruh rantau ini.

 

Tahun lepas, GHL mencatatkan untung bersih RM28.81 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 atas hasil RM460.37 juta.

 

NTT Data ialah anak syarikat Nippon Telegraph and Telephone Corp, gergasi telekomunikasi Jepun yang juga dikenali sebagai NTT. - DagangNews.com