GLC, GLIC mainkan peranan penting percepatkan pemulihan ekonomi negara pasa COVID-19 - Zafrul | DagangNews Skip to main content

GLC, GLIC mainkan peranan penting percepatkan pemulihan ekonomi negara pasa COVID-19 - Zafrul

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting dalam usaha mempercepatkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga kini ekosistem GLC dan GLIC merangkumi sekitar RM445 bilion atau 25% permodalan pasaran Bursa Malaysia selain berjaya memberi pekerjaan langsung kepada 500,000 rakyat dan menjadi antara penyumbang terpenting dalam rantaian bekalan negara.

 

Beliau berkata, menerusi mandat masing-masing, setiap GLC dan GLIC berjaya memainkan peranan masing-masing dalam menghasilkan impak positif bagi memastikan kemakmuran sosio-ekonomi Keluarga Malaysia dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

 

"Pandemik COVID-19 telah mengubah hidup dan cara kita beroperasi secara menyeluruh sama ada di perinngkat individu atau perniagaan selain menyerlahkan kepelbagaian kelemahan yang sudah lama bertapak dalam struktur sosio-ekonomi kita.

 

"Sehubungan itu, dalam usaha kita untuk terus menambahbaik ekosistem GLC ini, kita juga harus mengambil kesempatan ini untuk memperkasakan GLIC dan GLC bagi membantu kerajaan menangani isu-isu struktur tersebut. 

 

"Insya Allah, dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, tetapi juga mampu membina sebuah ekonomi yang berdaya tahan dan lestari," katanya pada majlis pelancaran Hari Terbuka GLC 2022, hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata, usaha yang diutamakan oleh GLC dan GLIC yang bertemakan 'Aspirasi Masyarakat Inspirasi Negara' adalah berpaksikan kepada lima fokus utama iaitu rakyat, perniagaan, ekonomi, kesihatan awam dan agenda Bumiputera.

 

"Bagi memastikan ekonomi kembali mampan, GLIC dan GLC juga komited melaksanakan projek berteraskan konsep lestari, projek pembangunan untuk pemulihan serta projek ketersambungan digital selain menyediakan kemudahan kesihatan awam termasuklah kesihatan mental, wanita serta kanak-kanak.

 

"GLC dan GLIC komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam menggiatkan usaha untuk memulih kehidupan Keluarga Malaysia secara menyeluruh, merangkumi mata pencarian, pekerjaan dan penambahbaikan kesihatan awam serta agenda bumiputera.

 

"Kami juga komited untuk melaksanaan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera seperti program vendor Bumiputera dan menerusi Bajet 2022, GLC dan GLIC memperuntukkan sebanyak 40% perlolehan tempatan kepada usahawan Bumiputera," katanya.

 

Tengku Zafrul berkata, transformasi dan penyusunan semula ekosistem GLC yang dilaksanakan kerajaan memberikan lonjakan ketara dalam operasi dan sumbangannya kepada negara.

 

Beliau berkata, dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan Program Transformasi GLC bagi lima GLIC dan 20 GLC terpilih, ia berjaya meningkatkan permodalan pasaran bagi 20 GLC kepada RM386 bilion.

 

Katanya, ia juga telah meningkatkan hasil bersih GLC dan GLIC kepada RM26.2 bilion setahun serta meningkatkan jumlah pulangan pemegang saham atau 'total shareholders' return, kepada 11.1 % setahun. - DagangNews.com