GLC perlu capai 30% penyertaan wanita sebagai ahli lembaga pengarah pada 2023 - PM | DagangNews Skip to main content

GLC perlu capai 30% penyertaan wanita sebagai ahli lembaga pengarah pada 2023 - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mac -  Setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersenarai hendaklah mencapai tahap penyertaan wanita sekurang-kurangnya 30% sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, ia bagi mengiktiraf secara berterusan peranan wanita sebagai pemimpin dan penyumbang penting kepada kemajuan sosio-ekonomi dan kemakmuran negara, bukan sahaja sempena Hari Wanita Sedunia baru-baru ini.

 

Jelasnya, dalam Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan bahawa semua syarikat tersenarai diwajibkan melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita sebelum 1 Jun 2023.

 

Selain itu, beliau berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah mengumumkan objektif negara untuk mencapai net zero carbon emissions pada tahun 2050. 

 

"Dalam merealisasikan aspirasi ini, kesemua GLC dan GLIC disarankan supaya mempunyai sasaran jangka masa sederhana dan sasaran net zero carbon menjelang 2050 dalam merealisasikan objektif RMK-12 tersebut. 

 

"Kerajaan berharap agar pengumuman dasar-dasar ini akan memberi manfaat dan kesejahteraan berterusan kepada Keluarga Malaysia, InsyaAllah," katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka GLC 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

 

Menurut Ismail Sabri, GLC dan GLIC berperanan penting dalam mencapai visi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025.

 

Beliau berkata, pembabitan GLC dalam perkhidmatan asas seperti bekalan tenaga, petrol, air, logistik, telekomunikasi telah membolehkan kita mempelbagaikan ekonomi daripada yang berasaskan pertanian dan sumber asli kepada sektor perindustrian dan berteraskan teknologi seperti semikonduktor. 

 

 

pm

 

 

"Bahkan, ini menjadi benteng kita terhadap krisis kewangan Asia 1997-1998 dan krisis kewangan global pada tahun 2008. GLC dan GLIC juga berperanan penting dalam membangun dan mempertahankan kemajuan sosioekonomi negara." katanya.

 

Beliau berkata, entiti-entiti seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional dan Petronas telah banyak membantu negara membina infrastruktur kritikal dan mencapai aspirasinya.

 

"Contohnya, GLC dan GLIC membantu membangunkan salah satu kumpulan operator lapangan terbang terbesar di dunia (iaitu Malaysia Airports), melahirkan syarikat yang menjadi juara serantau seperti  Kumpulan Maybank, CIMB dan Axiata dan membangunkan koridor penting negara seperti Iskandar Malaysia," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, GLC dan GLIC menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25% permodalan pasaran Bursa Malaysia, memberi pekerjaan langsung kepada setengah juta Keluarga Malaysia dan penyumbang terpenting dalam rantaian bekalan negara.

 

Beliau berkata, ia juga penting bagi mencapai aspirasi negara maju melalui RMK-12 dalam pembangunan sosioekonomi negara serta keperluan menyusun semula (atau reform) dasar-dasar kerajaan dalam meningkatkan daya tahan rakyat serta daya saing Malaysia di pentas dunia.

 

"RMK-12 menggambarkan peranan GLC dan GLIC yang diperkukuh dalam usaha memperluas pasaran eksport, membantu komuniti perusahaan dan menceburi sektor strategik yang baharu seperti Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan penggunaan data raya dan analisis data. 

 

"Ini melibatkan pelan strategik termasuk, pelaksanaan program bimbingan oleh GLC kepada pengamal profesional kecil dan sederhana (PPKS) dalam sektor perkhidmatan, perluasan model perniagaan inklusif yang menggalakkan penglibatan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam rantaian bekalan GLC serta pembiayaan dan pelaburan hijau untuk projek pembangunan mampan dan mesra iklim, termasuk melalui kerjasama awam swasta," katanya.

 

BACA JUGA: PM umum gaji minimum pekerja GLC, GLIC RM1500 sebulan

 

Beliau berkata, GLC turut menjadi antara pemacu utama dalam menjayakan pelbagai inisiatif kerajaan melalui Bajet 2022 seperti JaminKerja Keluarga Malaysia bernilai RM4.8 bilion dan program SemarakNiaga Keluarga Malaysia bernilai RM40 bilion. - DagangNews.com