GLOPEC bakal lancarkan `Taste of Sabah' di London pada 12 Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

GLOPEC bakal lancarkan `Taste of Sabah' di London pada 12 Mei 2022

Majlis penghantaran pertama produk IKS GLOPEC untuk dieksport ke United Kingdom, baru-baru ini.
Oleh DOMINIC G. JOSEPH 

KOTA KINABALU 19 April – Pusat Sehenti Usahawan Global (GLOPEC) di bawah Yayasan Sabah bakal melancarkan promosi `Taste of Sabah’ di London pada 12 Mei depan, yang mengenengahkan produk perusahaan kecil dan sederhana negeri di bawah bayu ini.

 

Pengarah GLOPEC, Azmi Aziz berkata, pameran tersebut membabitkan demonstrasi dan merasa makanan untuk usahawan GLOPEC telah berlangsung di Kensington, United Kingdom, sejak Disember tahun lalu sehingga Mac lepas.

 

Menurut beliau, GLOPEC berperanan membantu mempercepatkan proses pemasaran di luar negara menerusi lantikan rakan-rakan strategik antarabangsa.

 

‘’Selain UK, kami juga menyasarkan pasaran Perancis, Jerman, Belanda, China, Taiwan, Hong Kong, Macau, Indonesia dan Thailand untuk produk-produk PKS Sabah.

 

‘’Pada masa ini, produk-produk PKS Sabah yang dieksport ke UK dan negara China terdiri daripada hasil pertanian, minuman, barangan batik dan kraf serta kosmetik,’’ katanya kepada DagangNews.com di sini.

 

Azmi berkata, pihaknya juga telah berjaya mendapatkan pasaran baharu di Timur Tengah apabila Surat Hasrat ditandatangani antara GLOPEC dan Alfa Mart di Ekspo Dubai pada 23 Disember 2021.

 

GLOPEC merupakan usaha berterusan Yayasan Sabah dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi merancakkan lagi usaha memperkasakan usahawan PKS Sabah, serta membuka pasaran global.

 

 

azmi aziz
Azmi Aziz menyampaikan taklimat mengenai aktiviti GLOPEC baru-baru ini.

 

Menurutnya, beberapa kriteria dan syarat perlu dipenuhi untuk melayakkan PKS Sabah menyertai program GLOPEC.

 

Pengeluar-pengeluar bumiputera perlu mempunyai syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya  Syarikat Malaysia (SSM), mempunyai premis atau kilang yang ada keupayaan untuk menghasilkan barangan sepanjang tahun, Amalan Pengilangan Yang baik (GMP), Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan lain-lain lagi.

 

‘’Program GLOPEC ini memberikan peluang kepada usahawan bumiputera Sabah untuk meningkatkan lagi prestasi dan daya saing mereka agar lebih berinovatif dalam bidang perusahaan,’’ katanya.

 

Azmi berkata, PKS Sabah diingatkan mengenai  pentingnya peranan pemasaran yang strategik, penjenamaan produk-produk keluaran Sabah yang berkesan dan merancang dengan membentuk satu promosi produk yang unik untuk menarik pelanggan-pelanggan yang disasarkan.

 

‘'Saya memerhatikan bahawa sebahagian daripada usahawan PKS Sabah tidak memberi perhatian yang terperinci kepada tujuh prinsip pemasaran.'  

 

'Tujuh prinsip yang saya maksudkan ialah produk, harga, promosi, tempat, pembungkusan, kedudukan dan pelanggan.

 

‘’Memandangkan produk, pasaran, pelanggan dan keperluan sentiasa berubah mengikut trend semasa, usahawan mesti mengambil inisiatif mengkaji semula tujuh prinsip tersebut untuk memastikan perniagaan mereka berada di landasan yang betul dan boleh mencapai hasil maksimum dan membolehkan PKS Sabah bertanding di pasaran global,'’ kata Azmi. – DagangNews.com