GMB mahu moratorium automatik disambung semula | DagangNews Skip to main content

GMB mahu moratorium automatik disambung semula

ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB) menggesa kerajaan supaya menyambung semula moratorium secara automatik berkuat kuasa serta-merta sehingga Januari 2021. 

Presidennya, Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, moratorium itu harus diberikan kepada semua jenis pinjaman dari institusi perbankan dan syarikat kewangan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM). 

"Perkara ini amat penting kerana berdasarkan pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan membantutkan perjalanan dan aktiviti perniagaan seharian sehingga mengakibatkan kerugian dan membantutkan aliran tunai kepada peniaga, syarikat seterusnya pekerja harian khasnya," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Agil Faisal Ahmad Fadzil
Agil Faisal Ahmad Fadzil
 

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula tengah malam 14 hingga 27 Oktober ini berikutan peningkatan kes COVID-19.

Selain itu, pelaksanaan PKPB di seluruh Sabah pula dikuatkuasakan malam tadi hingga 26 Oktober ini.

Agil Faisal berpendapat moratorium mampu menjadi penyelamat tercepat dan berkesan memandangkan ia bukan sahaja dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan harian tetapi menyelamatkan mereka daripada disenarai hitam dan dikenakan tindakan undang-undang hingga diisytihar muflis.

"Lebihan wang tunai juga boleh merancakkan pasaran pelaburan seperti unit amanah, emas dan pasaran saham tempatan yang ternyata turut dibantu peniaga runcit ketika pelaksanaan moratorium. 

"Pada masa sama, institusi perbankan tidak melaporkan kerugian malah melaporkan keuntungan ketika moratorium kali pertama dilaksanakan," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya moratorium secara automatik diberikan kepada pinjaman yang dibuat sebelum Februari 2020 dan bukan kepada pinjaman baharu.  

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang berkuat kuasa sejak 1 April lalu dianggarkan berjumlah RM85.8 bilion setakat 4 September lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM30 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh peminjam individu bernilai RM55.8 bilion.

Moratorium selama enam bulan diberikan susulan langkah kerajaan melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu bagi meringankan beban rakyat telah berakhir 30 September lalu. - DagangNews.com