Goh Seow Eng dilantik sebagai CEO Maxis berkuat kuasa 1 Disember ini | DagangNews Skip to main content

Goh Seow Eng dilantik sebagai CEO Maxis berkuat kuasa 1 Disember ini

Gokhan Ogut (kanan) dan Goh Seow Eng (kiri)

KUALA LUMPUR 28 Okt - Goh Seow Eng dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis baharu berkuat kuasa 1 Disember 2022.

 

Beliau akan menyertai Maxis sebagai pemangku jawatan tersebut mulai 1 November, sebelum menggantikan Gokhan Ogut yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan pada 30 November 2022.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah Maxis, Mokhzani Mahathir berkata, Seow Eng membawa bersamanya pengalaman yang luas dalam industri telekomunikasi dengan rekod prestasi kukuh dalam jalur lebar mudah alih dan fiber, perniagaan talian tetap serta perkhidmatan digital, yang kesemuanya penting untuk pertumbuhan Maxis. 

 

"Kami menantikan peluang untuk bekerjasama dengan beliau untuk menerajui dan memacu fasa seterusnya dalam perjalanan konvergen kami.

 

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Gokhan kerana telah menerajui Maxis sebagai Ketua Pegawai Eksekutif selama tiga setengah tahun," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

mokhzani mahathir
MOKHZANI MAHATHIR

 

 

Sejak memegang jawatan tersebut, Gokhan telah menerajui syarikat dalam masa penuh ketidaktentuan dan cabaran pasaran, yang sebahagian besarnya telah didorong oleh pandemik COVID-19. 

 

Gokhan telah memainkan peranan penting dalam pencapaian kewangan Maxis yang berdaya tahan dan penyampaian cita-cita kepimpian konvergen Maxis, termasuk pertumbuhan yang membanggakan dalam perniagaan fiber. 

 

Sementara itu, Seow Eng, seorang rakyat Malaysia, telah memegang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Advanced Info Service (AIS) di Thailand. 

 

Beliau bertanggungjawab ke atas semua unit operasi termasuk perniagaan mudah alih teras dan menyelia pengembangannya ke pasaran jalur lebar fiber serta perniagaan perusahan. 

 

Sebelum AIS, antara jawatan yang pernah disandang Eng termasuk Pengarah Urusan perniagaan kediaman Singtel, dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hiburan Tanjong plc di Malaysia. 

 

Beliau juga pernah menjadi COO bagi Perniagaan Pengguna di Astro di mana beliau telah menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan syarikat tersebut. 

 

Seow Eng juga pernah memegang pelbagai jawatan serantau dan global Citibank di London, Kuala Lumpur, Taipei dan Tokyo. - DagangNews.com