Golongan muda diberi kepercayaan tentukan pimpinan negara pada masa hadapan - PM | DagangNews Skip to main content

Golongan muda diberi kepercayaan tentukan pimpinan negara pada masa hadapan - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyangkal pandangan skeptikal bahawa golongan muda dianggap terlalu mentah untuk memimpin negara sebaliknya menaruh kepercayaan terhadap golongan itu untuk menentukan kepemimpinan pada masa hadapan.

 

Beliau juga berkata, golongan muda, terutama mahasiswa boleh bersifat kritis dan kritikal terhadap kerajaan, tetapi setiap perkara dikatakan mestilah mempunyai fakta, selain pentadbiran hari ini mengiktiraf peranan anak muda dan ia dibuktikan apabila usul Undi 18 diluluskan.

 

"Kerajaan yakin dengan kemampuan anak muda dan mahu mereka menentukan siapa yang berhak jadi pemimpin.

 

"Sehubungan itu bermula 1 Januari 2022, semua anak muda berumur 18 tahun ke atas, secara automatik akan jadi pengundi Insya-Allah.

 

"Apabila PRU (Pilihan Raya Umum Ke-15) diadakan, kerajaan akan pastikan mereka boleh mengundi," katanya ketika merasmikan Program Keluarga Malaysia@IPT 2021 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berharap Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia akan berupaya menginstitusikan ‘Keluarga Malaysia’ dengan menjadi hab penyelidikan, pendidikan, latihan dan penyebaran ilmu, dalam kalangan rakyat di negara ini.

 

"Suka saya umumkan penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia. Sesuai dengan julukan sebagai institusi ulung yang membawa perubahan dalam pengembangan pendidikan, saya mahu pusat ini ditempatkan di sini, iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 

 

"Saya sangat optimis, dengan kreativiti, inovasi serta kerjasama strategik melibatkan pelbagai pihak, pusat ini dapat memainkan peranan yang signifikan dalam meningkat, mempromosi dan meluaskan lagi konsep serta usaha membudayakan nilai-nilai pengkayaan," katanya.

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sejak mula ditubuhkan pada 1 Mei 1997 lahirlah ribuan pendidik serta pemimpin ternama bukan saya di dalam negara malahan di pentas antarabangsa dan lebih membanggakan mereka memajukan bidang pendidikan di negara ini.

 

Beliau berkata, UPSI mempunyai keupayaan yang tersendiri dan idealisme warganya yang bijaksana dalam menguruskan sebuah universiti pendidikan tersohor negara.

 

"Hari ini , UPSI melangkah dengan begitu pantas membina kecemerlangan, memberikan saingan hebat kepada universiti ternama lain. 

 

"Dengan penuh karisma, UPSI menyambung legasi, mengukir keunggulan, dan giat membina kemasyhuran di pentas nasional serta antarabangsa," katanya. - DagangNews.com