Golongan muda Malaysia bergelut membina daya tahan kewangan | DagangNews Skip to main content

Golongan muda Malaysia bergelut membina daya tahan kewangan

Kurang daripada 48% rakyat Malaysia mengaku berpuas hati dengan kesejahteraan kewangan mereka, kedua terendah dalam kalangan 13 pasaran kaji selidik.

GOLONGAN termuda Malaysia (berumur di antara 25 hingga 34 tahun) lebih bimbang tentang kewangan peribadi mereka. Terutamanya golongan dewasa muda yang berada di peringkat awal kerjaya.

 

Mereka menghadapi cabaran yang membataskan kemampuan untuk menabung dan melabur demi masa depan ini  termasuklah kenaikan gaji yang rendah, peningkatan kos sara hidup, perubahan dalam landskap pekerjaan dan celik kewangan yang terhad.

 

Inilah antara dapatan dalam laporan bertajuk ‘Melakar Masa Depan Yang Gemilang – Mencari Jaminan Kewangan Masa Depan: Cabaran dihadapi golongan muda Malaysia’ yang ditulis oleh Economist Impact, terbitan Prudential Malaysia Assurance Berhad (PAMB) 

 

Laporan tersebut mengkaji bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan umur menabung untuk masa depan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan muda di Malaysia untuk lebih berdaya tahan dari segi kewangan.

 

“Tahun ini Prudential meraikan ulang tahun ke 100 di Malaysia. Oleh itu, laporan ini membuka peluang kepada kami untuk terus memenuhi keperluan generasi Malaysia yang akan datang terutamanya apabila mereka melangkah ke alam dewasa, kata Lim Eng Seong, Ketua Pegawai Eksekutif PAMB.


 

Lim Eng Seong
                  Lim Eng Seong

 


"Walaupun negara ini telah melalui banyak perubahan dalam beberapa dekad ini, satu isu masih berterusan. Rakyat Malaysia, terutamanya golongan dewasa muda, mengakui mempunyai tahap kepuasan yang rendah tentang kesediaan mereka dalam membuat persiapan menghadapi masa depan.

 

Ini adalah yang terendah dalam kalangan 13 pasaran yang terlibat dalam kaji selidik ini.

 

Dapatan di Malaysia ini adalah sebahagian daripada laporan untuk seluruh rantau ini oleh Economist Impact yang bertajuk “Meneliti semula kesejahteraan di Asia: Bagaimana pandangan hidup berubah”. Kaji selidik yang melibatkan 5,000 peserta di 13 pasaran Asia.

 

Untuk laporan ini, Economist Impact telah menemu bual dua orang pakar: Balqais Yusoff, Ketua Jabatan Dasar dan Strategi di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia dan Dr Norma Mansor, Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial di Universiti Malaya.

 

“Golongan muda mendapati semakin sukar untuk menabung,” kata Balqais Yusoff.

 

Satu sebabnya ialah set kemahiran yang tidak sepadan— ketidaksejajaran antara kemahiran yang diperlukan dalam pasaran buruh dengan kemahiran yang dimiliki oleh individu—dan juga cabaran struktur gaji yang memberi kesan terutamanya kepada tenaga kerja muda, menurut penyelidikan itu.



 

waionuiomata

Gaji tidak berubah pada tahun-tahun kebelakangan ini bagi kebanyakan tenaga kerja, termasuk golongan muda, menurut Norma Mansor: “Tiada kenaikan gaji mendorong ramai golongan muda, terutama yang berpendidikan tinggi untuk berhijrah ke luar negara di mana peluang pendapatan adalah lebih besar.”

 

Membina dana persaraan

Apabila penduduk Malaysia mula menua, jaminan kewangan semasa persaraan menjadi satu faktor yang membimbangkan. Kurang daripada 48% rakyat Malaysia mengakui berpuas hati dengan kesejahteraan kewangan mereka, yang kedua terendah dalam kalangan negara Asean.

 

Walaupun lebih daripada separuh (57%) yakin mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menanggung kehidupan sehingga umur 80 tahun ke atas, namun ini adalah angka terendah yang dicatatkan dalam mana-mana negara yang terlibat dalam kaji selidik.

 

Kaji selidik ini mendapati bahawa rakyat Malaysia yang lebih muda berkemungkinan untuk melakukan beberapa pekerjaan bagi menampung kehidupan dengan 38% dalam kumpulan umur 25 – 34 tahun menyatakan mereka bekerja lebih daripada satu pekerjaan berbanding dengan 26% dalam kumpulan umur di antara 35 hingga 44 tahun.

 

Dari segi simpanan, laporan ini mendapati bahawa hanya 25% dari kumpulan umur 25 – 34 tahun menyumbang kepada dana persaraan seperti KWSP, manakala 40% daripada rakyat Malaysia dalam kumpulan umur 45 – 55 tahun menyumbang kepada dana persaraan.

 

Implikasi kepada Masa Depan Malaysia

Penyelidikan ini menunjukkan bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan golongan muda di Malaysia. Ini termasuklah memupuk lebih kesedaran tentang instrumen kewangan yang lebih berisiko.

 

Selain itu, lebih banyak komunikasi diperlukan tentang manfaat melindungi pendapatan dan kesihatan yang akan
menjamin kestabilan dalam kehidupan pada kemudian hari.

 

“Ini akan membantu menangani isu-isu yang dihadapi oleh golongan muda Malaysia berkaitan kestabilan kewangan masa depan mereka. Pemerkasaan kewangan perlu bermula dari usia muda, ini termasuklah pembelajaran berterusan yang berkembang seiring dengan pertumbuhan dan peringkat dalam kehidupan individu,” menurut Lim Eng Seong.

 

“Bagi PAMB, program tanggungjawab korporat kami seiring dengan matlamat ini. Program pendidikan kewangan kami seperti Cha-Ching, Duit Right dan Pendidikan Kewangan Dewasa (AFE) memenuhi keperluan peringkat umur yang berbeza daripada umur semuda tujuh tahun hingga ke usia dewasa.

 

"Kami juga menawarkan perlindungan PRUKasih Aman, penyelesaian mikroinsurans bagi komuniti berpendapatan rendah yang membantu mereka mencapai manfaat kewangan dan perlindungan insurans,” kata Lim Eng Seong. - DagangNews.com