Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Mac. - Mereka yang berusia antara 22 hingga 28 tahun dilihat menjadi golongan yang paling kerap menggunakan kemudahan pinjaman melalui kad kredit.
Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Services (Malaysia), Dawn Lai berkata, golongan tersebut menunjukkan perubahan paling ketara dalam campuran kredit dari 2018 hingga 2020.
"Aspek yang menjadi penyumbang utama kepada campuran kemudahan kredit golongan ini tiga tahun lalu adalah Penjaman Kerajaan & Pendidikan dan lain-lain (32%).
"Tetapi pada 2020, kad kredit menjadi penyumbang utama kepada kekerapan penggunaan golongan muda apabila meningkat hampir dua kali ganda daripada 20% kepada 38%," katanya.
Perkara tersebut dibuktikan dalam analisis trend skor kredit pengguna dan penggunaan kemudahan kredit rakyat Malaysia yang dikeluarkan Experian Information Services (Malaysia) hari ini.
Kajian yang dijalankan ke atas 5.7 juta individu itu meliputi kemudahan kredit yang terdiri daripada kad kredit, pinjaman peribadi, sewa beli, gadai janji, overdraf, pinjaman kerajaan & pinjaman pendidikan serta lain-lain.
Tambah beliau, sebilangan besar pengguna lain turut menunjukkan peningkatan dalam kemudahan kredit seperti kad kredit pada 2020 akibat penularan COVID-19.
Bagaimanapun, peratusan yang ditunjukkan adalah tidak ketara berbanding golongan yang berusia 22-28 tahun.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, mereka yang baru menggunakan kredit adalah golongan yang paling terdedah dengan risiko kerana kekurangan pengalaman dalam pengurusan kredit.
Malah, sebarang tindakan pengurusan kredit yang salah boleh menyebabkan kesan jangka panjang terhadap akses untuk kemudahan kredit.
"Nasihat kami kepada pengguna muda Malaysia adalah untuk mengambil langkah proaktif agar menjadi lebih celik kewangan dari awal.
"Paling penting, memantau skor kredit anda sendiri akan menjadikan anda lebih mengambil tahu dan menghargai betapa pentingnya pengurusan kredit sepanjang kehidupan kita,” ujar beliau.
Laman web perbandingan kewangan tempatan, RinggitPlus baru-baru ini turut mendedahkan bahawa golongan belia/milenial di bawah usia 35 tahun adalah tidak celik kewangan. - DagangNews.com