Goodyear Malaysia cari pembeli tapak kilang di Shah Alam berikutan penutupan pada Jun 2024 | DagangNews Skip to main content

Goodyear Malaysia cari pembeli tapak kilang di Shah Alam berikutan penutupan pada Jun 2024

Kilang Goodyear di Shah Alam ditutup akhir Jun 2024 / Gambar hiasan media sosial

KUALA LUMPUR 31 Julai - Pembuat tayar, Goodyear Malaysia Bhd sedang mencari pembeli tapak kilang seluas 11.8 hektar di Seksyen 15, Shah Alam yang telah ditutup pada 30 Jun lalu.

 

Satu iklan dalam akhbar mingguan perniagaan menyatakan ia adalah jualan secara tender berpotensi untuk dibangunkan semula.

 

Tarikh tutup jualan yang dikendalikan oleh CBRE WTW Real estate Sdn Bhd adalah 28 Ogos 2024, pada pukul 12 tengah hari.

 

jjj

 

Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang mengumumkan penutupan kilang berusia 52 tahun itu pada Mac tahun ini melalui memo dikarang oleh beliau. 

 

Madarang berkata penutupan kilang di Shah Alam merupakan  sebahagian daripada program transformasi 'Goodyear Forward' yang menyasarkan untuk mengoptimumkan operasi dan meningkatkan nilai pemegang saham.

 

Dalam memo dalaman yang tersebar meluas di platform media sosial itu, Madarang berkata, program itu melibatkan langkah khusus untuk mencapai pengurangan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion menjelang 2025, memastikan daya saing Goodyear dan kedudukannya sebagai peneraju industri.


 
"Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Goodyear telah membuat keputusan yang sukar tetapi perlu untuk menutup kilang pembuatan kami di Shah Alam, Malaysia, berkuat kuasa 30 Jun 2024 dengan penutupan dijangka selesai menjelang akhir tahun," katanya semasa pengumuman penutupan kilang itu pada Mac. 
Selain itu, pekeliling itu juga menyebut, seperti mana-mana penutupan fasiliti, pastinya akan memberi kesan kepada pelbagai pihak dan dalam kes ini, kira-kira 550 kakitangan dalam operasi di Malaysia akan terjejas.

 


 
"Kami komited untuk memastikan pekerja kami dilayan dengan hormat dan ketelusan semasa proses ini," kata Madarang. - DagangNews.com