Google Advertising Revenue Lab Malaysia bakal transformasikan landskap media Malaysia | DagangNews Skip to main content

Google Advertising Revenue Lab Malaysia bakal transformasikan landskap media Malaysia

(Dari kiri) Pengurus Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google, Arianne Santoso; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengurus Rakan Berita Google, Adeel Farhan
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai - Google melancarkan Advertising Revenue Lab Malaysia bagi memperkasakan penerbit berita bersaiz kecil dan sederhana di Malaysia dengan alatan dan pengetahuan termaju dalam landskap media yang sedang berkembang.

 

Insiatif itu merupakan penambahan terbaharu di bawah program Google News Initiative (GNI) yang turut disokong Kementerian Komunikasi. 

 

Program itu melengkapkan bilik berita tempatan, menyediakan latihan teknikal dan produk, memberi sokongan praktikal mengoptimumkan laman web, meningkatkan penglibatan khalayak dan meningkatkan hasil pengiklanan. 

 

Menurut Google, bilik berita yang mengambil bahagian dalam program itu akan memperoleh cerapan dan strategi dalam perkembangan hasil pengiklanan digital mereka sekaligus memastikan penyampaian berterusan berita berkualiti tinggi. 

 

Dalam kenyataan media hari ini, Google berkata, Kementerian Komunikasi menekankan kepentingan inisiatif itu dalam industri berita Malaysia.


 
“Dengan melengkapkan penerbit berita dengan alatan dan kepakaran digital, kami percaya model perniagaan mereka boleh dipertingkatkan, memastikan ekosistem berita tempatan kekal pelbagai, lebih mampan dan berkembang maju,” kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Rafiq Razali, yang terlibat dengan Kementerian Komunikasi dalam projek itu berkata, pelancaran Advertising Revenue Lab Malaysia menandakan perkembangan positif untuk media Malaysia. 

 

“Inisiatif ini mencerminkan dedikasi berterusan Google terhadap inovasi serta menyokong internet percuma dan terbuka.

 

“Kami yakin inisiatif itu akan membuka jalan untuk masa hadapan cerah untuk pencipta berita dan kandungan di seluruh negara, membuka peluang baharu untuk industri media Malaysia serta memupuk ekosistem digital berkembang maju yang  akan memberi manfaat kepada pengguna kandungan,” katanya.

 

Google berkata, Advertising Revenue Lab Malaysia merupakan satu langkah penting ke arah memperkasakan penerbit tempatan dan memastikan kewartawanan berkualiti mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.

 

Pada masa yang sama, Pengarah Urusan Perkongsian Berita Google Asia Pasifik, Kate Beddoe menyatakan inisiatif itu akan membantu penerbit berita Malaysia menyesuaikan diri, berkembang dan membina perniagaan yang lebih mampan.


 
Selain itu, Pengarah Negara untuk Google Malaysia, Farhan S. Qureshi, menegaskan program baharu itu akan memanfaatkan penerbit berita dan menjaminkan masa hadapan kewartawanan di Malaysia.- DagangNews.com