Grab lengkapkan pengambilalihan saham utama Jaya Grocer | DagangNews Skip to main content

Grab lengkapkan pengambilalihan saham utama Jaya Grocer

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Grab Holdings Limited (Grab), aplikasi super tekenal di Asia Tenggara secara rasminya berjaya melengkapkan pengambilalihan saham majoriti di dalam kedaian rantaian terkemuka di Malaysia, Jaya Grocer Holdings Sdn. Bhd.. 

 

Kedua-dua syarikat merancang untuk bekerjasama dalam membawakan barangan runcit atas permintaan kepada rangkaian pelanggan yang lebih luas selain menggunakan khidmat GrabPay dan GrabRewards di kesemuanya cawangan fizikal Jaya Grocer.

 

Ia akan menjadi sebahagian daripada perancangan syarikat untuk meluaskan penggunaan perkhidmatan e-dompet Grab dalam kalangan pelanggan.

 

Lebih 64% pengguna internet di Asia Tenggara membeli barangan runcit secara dalam talian semasa musim pandemik namun hanya 2% menggunakan khidmat transaksi dalam talian.

 

Dijangka pembelian barangan runcit secara dalam talian di Asia Tenggara akan berkembang sehingga AS$50 bilion dalam nilai barangan kasar atau saiz keseluruhan pasaran e-dagang hari ini.

 

Pengasas bersama Grab dan Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan, Anthony Tan berkata, visi pihaknya adalah untuk barangan runcit di atas permintaan lebih mudah didapati oleh semua pelanggan.

 

jaya

 

"Jaya Grocer dikenali kerana memiliki pilihan yang banyak selain barangan yang segar. Menerusi gabungan khidmat penghantaran kami dan bekalan yang dimiliki Jaya Grocer, kami boleh memastikan barangan berkualiti ini sampai lebih pantas ke rumah pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengasas Jaya Grocer, Teng Yew Huat berkata, pemilihan Grab selaku rakan perniagaan adalah bertepatan untuk membawa jenama runcit itu ke tahap yang lebih baik berdasarkan kepada rekod cemerlang yang dimiliki. 

 

"Pengambilalihan ini akan memberikan kami peluang bukan sahaja untuk mengembangkan syarikat tetapi juga untuk mengembangkan pasaran barangan runcit secara dalam talian di Malaysia," katanya. - DagangNews.com