KUALA LUMPUR 16 Nov - Grab Holdings Inc mengakui mengalami gangguan terhadap perkhidmatan e-hailing di seluruh Asia Tenggara setelah ramai pengguna merungut sejak pagi tadi.
Malah, menurut laporan Bloomberg, syarikat yang berpangkalan di Singapura itu turut memohon maaf berikutan 'ketidakselesaan' pengguna daripada sekurang-kurangnya 3 negara termasuk Malaysia, mengadu menghadapi kesukaran mendapatkan pengangkutan menerusi aplikasi telefon pintar.
Dua negara lagi yang turut mengalami perkara yang sama adalah Singapura dan Filipina.
"Kami sedang mengalami gangguan perkhidmatan. Pasukan kami bekerja keras untuk memperbetulkan perkara ini dan kami akan memberikan kemas kini apabila ia tersedia. Kami memohon maaf atas kesulitan ini," menurut Grab dalam kenyataanya.
Sementara itu, berdasarkan semakan di Twitter @GrabMalaysia kira-kira 16 minit lalu menerusi ruangan komen, ia mengesahkan mengalami gangguan teknikal dan pasukannya sedang memantau perkara ini.
"Kami sedang mencuba yang terbaik untuk memastikan aplikasi ini kembali beroperasi tidak lama lagi," jelasnya.
Selain menawarkan pengangkutan e-hailing, Grab turut menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan, barangan runcit dan bungkusan termasuk perkhidmatan kewangan menerusi aplikasinya di 400 bandar merentasi 8 buah negara di rantau ini.
Bloomberg juga melaporkan Grab sedang mempertimbangkan langkah penggabungan dengan Altimeter Growth Gorp., syarikat tujuan khas Brad Gerstner Altimeter Capital Management bagi pengambilalihan.
Menurutnya, urus niaga bagi langkah itu diumumkan April lalu tetapi telah ditangguhkan. Ia dijangka dimuktamadkan pada suku ini. - DagangNews.com