Grab pastikan rakyat Malaysia terus raih penjimatan menerusi #SavewithGrab  | DagangNews Skip to main content

Grab pastikan rakyat Malaysia terus raih penjimatan menerusi #SavewithGrab 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Grab Malaysia memperluaskan #SavewithGrab yang dilancarkan pada tahun lepas, untuk meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan atas permintaan dengan menyasarkan pengguna yang peka dengan bajet mereka.

 

Ketua Pemasaran Grab Malaysia, Hassan Alsagoff berkata, matlamat pihaknya adalah untuk memberi perkhidmatan kepada semua rakyat Malaysia bagi setiap keperluan mereka. 

 

Katanya, penambahbaikan itu akan membantu mereka mencapainya dengan menjadikan platform lebih mudah diakses segmen pengguna yang lebih luas. 

 

"Kemaskini baharu seperti 'GrabUnlimited Long-Term Plans' dan ‘Stamp Cards’, bukan sahaja membantu kami untuk kekal relevan dalam fikiran pengguna yang mementingkan bajet.

 

"Tetapi, ia juga membuka lebih banyak peluang penjimatan bagi semua pengguna, selain berpotensi meningkatkan pendapatan untuk rakan pemandu, penghantar dan peniaga kami," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Resah komisen tinggi dikenakan syarikat aplikasi penghantaran, persatuan usahawan rayu rakyat Malaysia kembali beli makanan terus di restoran | DagangNews

 

Hassan berkata, bagi memenuhi keperluan bagi segmen pengguna yang lebih luas, ciri-ciri baharu itu ditujukan kepada mereka yang peka terhadap bajet dan harga. 

 

Beliau berkata, ia termasuk pilihan penghantaran GrabFood yang lebih rendah, peningkatan ciri untuk pesanan berkumpulan, pelan langganan jangka panjang GrabUnlimited dan ganjaran melalui program kesetiaan rakan kongsi yang baru diperkenalkan seperti kombo jimat dan pakej Rahmah, yang mana membantu rakyat Malaysia mendapatkan makanan terbaik pada harga terendah.

 

 

grab

 

 

"Program kesetiaan Stamps Cards pula disediakan rakan peniaga kami yang mengambil bahagian di seluruh negara seperti Baskin Robbins, Killer Gourmet Burgers (KGB), Kyochon, Lim Fried Chicken, Salad Atelier dan banyak lagi.

 

"Selain itu, rakyat Malaysia kini boleh melanggan GrabUnlimited dengan hanya RM3.99 sebulan. Kini ditawarkan dalam tempoh 6 bulan dan 12 bulan, pelan baharu ini memudahkan pengguna menikmati faedah dan penjimatan tanpa had," katanya.

 

 

grab

 

 

Katanya, Grab Malaysia juga akan memperluaskan #SavewithGrab dalam segmen perniagaannya yang lain, khususnya dalam sektor e-panggilan dan kewangan dengan GrabCar Saver dan GXBank.

 

"GrabCar Saver merupakan perkhidmatan pengangkutan baharu yang mana penumpang boleh menjimatkan tambang sehingga 20%. Jenis perjalanan ini kini tersedia di sekitar bandar dan pada masa yang terpilih.

 

"Manakala, kad GX dari GXBank yang akan datang akan menawarkan pelbagai ganjaran dan penjimatan seperti 1% wang tunai tanpa had untuk setiap urus niaga, serta mata ganjaran GrabRewards sebanyak 1.5% apabila digunakan di Jaya Grocer. Dengan membuka akaun simpanan GX, pengguna boleh menikmati simpanan dengan kadar faedah harian 3% setahun," katanya. - DagangNews.com