Grand Oils & Fats syarikat luar Malaysia pertama peroleh pensijilan MSPO | DagangNews Skip to main content

Grand Oils & Fats syarikat luar Malaysia pertama peroleh pensijilan MSPO

Grand Oils & Fats (Dongguan) Co Ltd
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Grand Oils & Fats (Dongguan) Co Ltd (GIHDG), yang berpengkalan di China adalah syarikat pertama di luar Malaysia yang memperoleh Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO SCCS).

 

Kejayaan syarikat itu adalah hasil dari usaha Institut Perkhidmatan Teknikal dan Penyelidikan Minyak Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORTSIM) China dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC). 

 

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, GIHDG telah dipersijilkan dengan MSPO SCCS sejak 21 Oktober 2022. 

 

"PORTSIM China telah memulakan dan memudahkan sesi libat urus pada Disember 2021 yang menandakan permulaan pencapaian bersejarah ini.

 

"“GIHDG kini boleh membekalkan produk yang diperbuat daripada minyak sawit yang dihasilkan secara mampan dengan yakin dan lebih dipercayai kepada pelanggan dan pengguna akhir mereka di seluruh dunia.," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

GIHDG ialah syarikat pemprosesan minyak makan dan salah satu peneraju industri minyak dan lemak berasaskan tumbuhan di Republik Rakyat China.

 

GIHDG telah disahkan dan dianugerahkan Sijil MSPO SCCS oleh Bureau Veritas Certification (M) Sdn Bhd, sebuah badan pensijilan bertauliah di bawah Skim Pensijilan MSPO.

 

 

mpob

 

 

Piawaian MSPO melengkapkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) 2030 terutamanya mengenai penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi, kehidupan di darat, kebuluran sifar dan perubahan iklim.

 

Bagi memastikan piawaian tersebut mampu menangani pengeluaran yang mampan, termasuk kebimbangan seluruh dunia terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan sosial, MSPO baru-baru ini telah menjalani semakan dan kini dikenali sebagai MSPO 2022.

 

Platform MSPO Trace akan membantu rantaian nilai dengan menjejaki produk minyak sawit daripada sumbernya dan sepanjang rantaian bekalan, kata Ahmad Parveez.

 

MPOCC adalah sebuah agensi bebas bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada Disember 2014 bagi mengendalikan Skim Pensijilan MSPO.

 

Ia juga bertanggungjawab untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap Skim Pensijilan MSPO, bagi membantu usaha dan komitmen industri sawit Malaysia, khususnya pekebun kecil, untuk menghasilkan minyak sawit mampan. - DagangNews.com